Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM 2022

Berita
Pameran, bazar seni amal bagi Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi
19/03/2023

‚Äčmjpm_1903231.jpg

Penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria bertujuan untuk mengumpul derma berbentuk kewangan dari semua rakyat dan penduduk di negara ini bagi membantu meringankan beban penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang telah dilanda bencana gempa bumi pada 6 Februari lalu. 

Gempa bumi tersebut merupakan antara gempa bumi yang paling teruk dengan skala bencana yang signifikan dan mengorbankan ramai mangsa. 

Justeru, atas dasar dorongan kemanusiaan dan terpanggil untuk 'memaduli' sesama manusia berlandaskan ajaran-ajaran agama Islam dan saling membantu ke arah kebajikan, Yayasan Seni Zakaria Omar (YSZO) dengan kerjasama Impian 7 Art Group petang tadi menganjurkan pameran dan bazar amal yang bertemakan 'SENIMAN PEDULI'. 

Pameran mengumpulkan para seniman negara untuk berpameran sambil mengutip derma di Pameran Seni Visual dan Bazar Amal Bagi Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria yang diadakan di Mabohai Shopping Complex, di sini. 

Hadir selaku tetamu kehormat menyempurnakan perasmian pameran dan bazar amal tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof. 

Juga hadir pada majlis tersebut, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Profesor Dr. Hamit Ersoy. 

Kumpulan seniman menyasarkan masyarakat dari dalam dan luar negara terutama para penggemar seni visual dan kraf tangan yang ingin membeli lukisan-lukisan yang dipamerkan sambil menderma bermula hari ini sehingga 1 April 2023 nanti. 

Objektif pameran juga antara lain untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika baginda memperkenankan penubuhan tabung kemanusiaan berkenaan. 

Selain itu menerusi pameran dan jualan itu juga dapat mempromosi 'Kenali Seni Kitani' dengan mengetengahkan seni lukis ke tengah-tengah masyarakat agar apresiasi dan kesedaran masyarakat terhadap seni lukis semakin mendalam. 

Pameran juga bertujuan memperkasa produk seni dan kraf tangan para pelukis dan seniman tanah air dan pengusaha kraf tangan tempatan untuk mempromosi produk kesenian negara dan melestarikan produk kesenian secara individu dan berkelompok.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto