
Setiap menjelangnya Syawal, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Bertahlil yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Majlis berkenaan adalah khusus buat ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.
Berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah serta kerabat diraja yang lain.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Bacaan Tahlil dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar yang juga seterusnya membacakan Doa Tahlil, diikuti dengan Doa Allah Peliharakan Sultan.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menjirus Aying Asah-Asahan ke makam ayahanda, bonda dan anakanda baginda, diikuti oleh paduka-paduka anakanda dan adinda baginda.
Kebawah DYMM juga seterusnya menjirus Aying Asah-Asahan ke makam Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; Al-Marhumah Pengiran Babu Raja Pengiran Anak Hajah Besar binti Pengiran Anak Haji Metassan dan Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz.
Turut hadir ke majlis tersebut, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Yang Berhormat Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Mulia Timbalan-timbalan Menteri, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri dan Manteri-manteri Bertauliah, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap.
Sumber berita Pelita BruneiSumber foto InfoFoto