Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kebawah DYMM akan adakan Keberangkatan Negara ke kingdom Of Bahrain
07/06/2023

hm_070623.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat mengadakan Keberangkatan Negara ke Kingdom of Bahrain pada 9 hingga 11 Jun 2023. 

Keberangkatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenaan adalah atas jemputan His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Kingdom of Bahrain. 

Semasa Keberangkatan Negara berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia antara lainnya, dijangka akan mengadakan perjumpaan bersama His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Kingdom of Bahrain bagi membincangkan perkara-perkara yang berkepentingan bersama ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala sebelum menyaksikan Majlis Penandatanganan beberapa dokumen antara Kerajaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Kerajaan Kingdom of Bahrain. 

Keberangkatan Negara Kebawah DYMM ke Kingdom of Bahrain mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara NBD dan Kerajaan Kingdom of Bahrain, yang mana pada tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara sejak tertubuhnya pada 24 September 1988. 

Keberangkatan Negara berkenaan juga akan meningkatkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama, termasuk pelaburan dan kewangan, serta pertahanan. 

Kebawah DYMM sebelum ini pernah berangkat ke Kingdom of Bahrain bagi Keberangkatan Negara pada bulan September 1988, dan Lawatan Kerja terakhir baginda adalah pada 21 hingga 23 April 2000. 

Manakala His Majesty King Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Kingdom of Bahrain pernah mengadakan Keberangkatan Negara ke NBD pada 3 hingga 4 Mei 2017.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto