
Ketersediaan data (Sustainable Development Goals - SDGs) bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) meningkat sejak tahun 2020, akan tetapi masih ada jurang data yang perlu ditangani.
Ini adalah bagi memperkesankan pemantauan serta penilaian kemajuan SDGs bagi NBD.
Setiausaha Tetap (Wawasan), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Hajah Siti Nirmala binti Pengiran Haji Mohammad selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan SDGs menekankan demikian pada Bengkel Statistik Data untuk Matlamat Pembangunan Yang Berdaya Tahan (SDGs) bertempat di Bilik Persidangan East Wing, Bangunan JPM, di sini.
Pengiran Hajah Siti Nirmala turut merakamkan penghargaan atas kerjasama padu dan usaha yang berterusan dari kementerian-kementerian dan agensi-agensi serta bantuan teknikal daripada United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (UNESCAP).
Bengkel tersebut dianjurkan oleh JPM selaku Jawatankuasa Khas Penyelarasan Kebangsaan Matlamat Pembangunan Yang Berdaya Tahan (JKPK SDGs) bagi NBD.
Objektif bengkel tersebut adalah bagi meningkatkan kefahaman berkenaan petunjuk-petunjuk SDGs, mengatasi jurang data dan tindakan utama yang diperlukan dalam meningkatkan pemantauan dan penilaian kemajuan SDGs negara.
Bengkel dijalankan oleh UNESCAP dan Jabatan Perangkaan, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan dihadiri oleh ahli-ahli JKPK SDGs serta Kumpulan Kerja Teknikal SDGs.
Sementara itu, Dr. Arman Bidarbakht Nia dari UNESCAP dalam ucapannya melahirkan ucapan tahniah kepada NBD atas pendekatan inklusif yang dijalankan dalam perkongsian data untuk memantau pembangunan mampan.
Ke arah itu, beliau yakin bahawa NBD akan dapat mengubah peluang untuk menjadi tindakan konkrit bagi memastikan pengukuhan sistem perangkaan pada masa depan.
Secara am, bengkel berkenaan jelasnya membantu dalam pemahaman bersama tentang potensi tindakan ke hadapan; meneroka proses kerajaan yang bersepadu (whole-of-government) bagi pengumpulan dan pensejajaran antara pihak yang berkepentingan bagi memenuhi keperluan statistik negara.
Sumber berita Pelita BruneiSumber foto InfoFoto