
Kejohanan Polo Amal yang dianjurkan oleh Pasukan Polo Brunei dengan kerjasama Persatuan Polo Diraja Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club, petang tadi.
Kejohanan polo tersebut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan berkenan menyaksikan, seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah kejohanan.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.
Juga berangkat menyaksikan kejohanan tersebut, paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna.
Turut berangkat, Yang Amat Mulia Tunku Idris Iskandar Al-Haj ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor.
Kejohanan amal pada kali ini menyaksikan tiga pasukan berentap bagi merebut trofi kemenangan, terdiri daripada pasukan Sonic The Hedgehog, yang diketuai oleh paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Sementara pasukan Pacman disertai oleh paduka adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Manakala, berkenan menyertai pasukan Super Mario ialah puteri baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah.
Turut menyertai pasukan Pacman, anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar dan anakanda YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul 'Ali Yil-Kabier bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.
Pada perlawanan tersebut, pasukan Sonic The Hedgehog berjaya menjulang trofi kejohanan setelah berjaya mengalahkan pasukan Pacman dan Super Mario, masing-masing dalam dua 'chukka' perlawanan.
Pada perlawanan pertama, menyaksikan pasukan Sonic The Hedgehog menewaskan pasukan Pacman dengan kiraan 1 - 0, manakala dalam perlawanan kedua, pasukan Super Mario tewas kepada pasukan Sonic The Hedgehog dengan kiraan 2 - 1.
Kemudian pada perlawanan ketiga, menyaksikan pasukan Pacman mengalahkan pasukan Super Mario dengan kiraan 4 - 3.
Dengan keputusan tersebut, pasukan Pacman berada di tempat kedua kejohanan dan tempat ketiga diraih oleh pasukan Super Mario.
Kejohanan Polo Amal 2023 yang dianjurkan pada kali ini juga turut dimeriahkan dengan karnival, disertai oleh pengusaha-pengusaha jualan makanan dan minuman tempatan, di samping pelbagai Aktiviti Fun Game untuk disertai oleh para pengunjung yang membanjiri acara tersebut sejak dari jam 12.00 tengah hari lagi.
Dalam masa yang sama, para pengunjung turut dihiburkan dengan beberapa persembahan menarik daripada warga Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam serta perlawanan Royal Brunei Polo Junior Academy Challenge antara pasukan Biru dan pasukan Merah yang berakhir dengan kemenangan berpihak kepada pasukan Biru.
Selain itu, kejohanan tersebut juga dimeriahkan lagi dengan cabutan nombor bertuah bagi pemegang-pemegang tiket yang berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif dan menarik yang disediakan oleh pihak penganjur.
Kesemua hasil kutipan pada Kejohanan Polo Amal 2023 ini nanti akan disalurkan sepenuhnya ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam untuk dimanfaatkan oleh warga serta orang-orang berkeperluan khas, dalam menjalani kehidupan seharian mereka.
Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam terus komited dalam meningkatkan lagi kualiti kehidupan orang-orang berkeperluan khas di negara ini, terutamanya kepada kanak-kanak istimewa di bawah jagaan pusat berkenaan.
Sebagai sebuah pertubuhan kebajikan amal bukan kerajaan, pusat berkenaan juga membimbing orang-orang muda, melatih dan mendidik mereka ke arah pembelajaran, kebebasan serta saling berdikari, dengan hasil pembangunan mental dan fizikal diri serta membantu mereka untuk menyesuaikan diri dalam kalangan keluarga mereka dan masyarakat sosial.
Sumber berita Pelita BruneiSumber foto InfoFoto