Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM berkenan menerima mengadap
16/09/2023

dpmm_160923.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi tadi berkenan menerima mengadap Ketua-ketua Perwakilan Negara Brunei Darussalam (NBD) yang baru dilantik dan Ketua-ketua Perwakilan Asing ke NBD yang baharu. 

Duli Yang Teramat Mulia mula-mula berkenan menerima mengadap Pesuruhjaya Tinggi NBD ke Republik Islam Pakistan, Tuan Yang Terutama Kolonel (B) Pengiran Haji Kamal Bashah bin Pengiran Haji Ahmad dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Haji Roslan bin Haji Yacub. 

Ketua-ketua Perwakilan NBD yang baru dilantik tersebut menerima Surat-surat Watikah Pelantikan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 September 2023. 

DYTM seterusnya berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Viet Nam ke NBD, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke NBD, Tuan Yang Terutama Achmad Ubaedillah; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Laurence Bay Siow Hon dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al-Buraithin. 

Ketua-ketua Perwakilan Asing yang baharu ke NBD tersebut telah menyembahkan Surat-surat Tauliah Pelantikan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 September 2023. 

Majlis-majlis Mengadap tersebut telah berlangsung di Qashr Al-Meezaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​