Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat tiba di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao
02/10/2023

hm_0210231.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Lao bagi mengadakan Keberangkatan Negara yang akan berlangsung pada 3 hingga 4 Oktober 2023. 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane dijunjung oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri, Tuan Yang Terutama Saleumxay Kommasith, selaku Menteri Pengiring; Head of the President's Office, Puan Yang Terutama Khemmany Polsena; Mayor of Vientiane Capital, His Excellency Athsphangthong Siphandone; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Lao ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Sengdavanh Vongsay. 

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Haji Roslan bin Haji Yacub. 

Keberangkatan Negara Kebawah DYMM ini merupakan atas undangan daripada Presiden Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith bagi memperingati Ulang Tahun Ke-30 Hubungan Diplomatik antara kedua-dua buah negara sejak terjalinnya hubungan berkenaan pada 27 Julai 1993.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​