Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat tiba di Riyadh, Arab Saudi
18/10/2023

hm_1810231.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berangkat tiba di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Gulf Cooperation Council (G.C.C.) yang akan berlangsung pada 20 Oktober 2023. 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dijunjung oleh His Royal Highness Prince Mohammed bin Abdulrahman bin Abdulaziz, Timbalan Gabenor Wilayah Riyadh; His Highness Prince Faisal bin Abdulaziz bin Ayyaf, Datuk Bandar Wilayah Riyadh; Setiausaha Agung G.C.C., Tuan Yang Terutama Jasem Mohamed Albudaiwi; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed bin Abdullah Al-Buraithin. 

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Dato Seri Setia Haji Awang Yusoff bin Haji Awang Ismail. 

Sidang Kemuncak ASEAN-G.C.C. akan dipengerusikan bersama oleh Arab Saudi dengan Republik Indonesia, selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini. 

Semasa Sidang Kemuncak ini, Ketua-ketua Negara dan Kerajaan ASEAN dan G.C.C. akan berhimpun buat pertama kalinya sejak hubungan ASEAN-G.C.C. ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1990, dan akan membincangkan usaha-usaha bagi mengukuhkan lagi hubungan ASEAN-G.C.C. serta memperkembangluaskan kerjasama dalam isu-isu yang berkepentingan bersama seperti perubahan iklim.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​