Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat tiba di San Francisco, AS
15/11/2023

hm_1511231.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat tiba di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Asia-Pacific Economic Leaders' Meeting (AELM) yang berlangsung pada 15 hingga 17 November 2023. 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco dijunjung oleh Assistant Chief of Protocol, State Department AS. 

Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke AS, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Ali. 

Sejurus keberangkatan tiba di hotel persemayaman, Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah. 

AS adalah tuan rumah bagi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) pada tahun 2023 yang membawakan tema 'Mewujudkan Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan Untuk Semua' (Creating a Resilient and Sustainable Future for All). 

AELM akan dipengerusikan oleh Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr., sebagai Pengerusi APEC bagi tahun 2023. 

Perbincangan semasa AELM dijangka akan merangkumi kemampanan, iklim, peralihan tenaga yang adil, kesalinghubungan dan membina ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​