Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
NBD hadiri Mesyuarat ADMM-Plus Ke-10
16/11/2023

mjpm_161123.jpeg

Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) Ke-10 telah berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta di Jakarta, Republik Indonesia, hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto dan dihadiri oleh Menteri-menteri Pertahanan dan wakil dari negara-negara ASEAN dan negara Plus serta Timor-Leste selaku negara pemerhati bagi ADMM dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan.

Hadir dan mengetuai semasa mesyuarat tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat ADMM Ke-17 pada 15 November 2023.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin juga selaku Ketua ASEAN Defence Senior Officials' Meeting Plus (ADSOM-Plus) Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan.

Mesyuarat ADMM-Plus Ke-10 telah meneliti laporan daripada Sekretariat ASEAN mengenai perkembangan terkini ASEAN. Menteri-menteri Pertahanan juga bertukar-tukar pandangan berkenaan persekitaran keselamatan serantau dan antarabangsa di mana negara-negara ahli ADMM-Plus mengesahkan komitmen mereka terhadap keamanan dan kestabilan serta mengakui peranan signifikan ASEAN dalam mendayakan perpaduan, kerjasama praktikal dan multilateralisme.

Semasa mesyuarat tersebut, Republik Indonesia selaku Pengerusi telah mengumumkan gandingan baharu bagi Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus (EWG) bagi kitaran 2024-2027, di mana Negara Brunei Darussalam akan mempengerusikan bersama kitaran ke-5 ADMM-Plus EWG on Peacekeeping Operations bersama Republik Rakyat China.

Upacara penyerahan jawatan Pengerusi ADMM dari Republik Indonesia kepada Republik Demokratik Rakyat Lao secara rasminya menutup pengerusian Republik Indonesia bagi ADMM Tahun 2023.

Republik Demokratik Rakyat Lao akan mengambil alih peranan Pengerusi ADMM dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan untuk Tahun 2024 dengan pengendalian Mesyuarat ADMM Retreat, ADMM Ke-18 dan ADMM-Plus Ke-11 masing-masing direncanakan pada Mac dan November 2024.

Tema bagi ADMM dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan pada tahun depan adalah 'ASEAN: Together for Peace, Security and Resilience'.

Sumber berita Pelita Brunei​​