Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri APEC Economic Leaders' Informal Dialogue and Working Lunch with Guest Economies yang berlangsung di Moscone Center, San Francisco, Amerika Syarikat.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Moscone Center dialu-alukan oleh Acting Chief of Protocol, State Department Amerika Syarikat, Mr. Ethan Rosenzwieg.
Sebelum APEC Economic Leaders' Informal Dialogue and Working Lunch (Sesi I) bermula, Kebawah DYMM berkenan menyertai bersama Ketua-ketua Ekonomi APEC yang lainnya bagi sesi bergambar ramai.
Sesi I tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr., selaku Pengerusi APEC bagi tahun 2023.
Perbincangan dalam Dialog tersebut telah tertumpu kepada kemampanan, iklim dan peralihan tenaga yang adil.
Semasa sesi tersebut, Kebawah DYMM mengurniakan titah di mana baginda mengimbas semula Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC yang pertama yang telah diadakan di Blake Island 30 tahun yang lalu, pada tahun 1993, dan komitmen yang dibuat untuk mencapai kestabilan, keselamatan dan kemakmuran bagi rakyat di rantau Asia-Pasifik.
Berlatarbelakangkan ketidaktentuan dan cabaran global, baginda menekankan bahawa visi bersama ini kekal menjadi teras kepada kerja APEC dan betapa relevannya perkara ini dalam dunia yang semakin bersaling-hubungan di mana konflik geopolitik yang semakin memuncak, baru-baru ini di Timur Tengah, mengganggu usaha-usaha untuk mencapai kemakmuran dan kestabilan ekonomi.
Sehubungan itu, baginda mengetengahkan penyertaan Ekonomi-ekonomi APEC dalam beberapa rangka kerja pelbagai hala seperti ASEAN, G20, Pacific Islands Forum and the Pacific Alliance, yang mana semuanya berasas dalam mempromosikan kerjasama dan memajukan masa depan yang inklusif, berdaya tahan, aman dan mampan untuk ekonomi dan wilayah ini.
Oleh itu tambah baginda, APEC harus terus mengukuhkan perkongsian dengan rangka kerja-rangka kerja yang mempunyai visi dan matlamat yang sama, dan meneruskan kerjasama dalam menangani cabaran seperti perubahan iklim.
Menyentuh mengenai kebimbangan yang semakin meningkat tentang kejadian cuaca ekstrem dan kesan buruknya terhadap kehidupan rakyat, alam sekitar dan ekonomi, baginda menggesa keperluan untuk menangani ancaman global ini dengan mengamalkan amalan-amalan yang lebih mampan dan melabur dalam teknologi yang berdaya tahan iklim.
Dalam konteks ini, tema Amerika Syarikat, 'Mewujudkan Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua' (Creating a Resilient and Sustainable Future for All) adalah relevan.
Baginda seterusnya menekankan bahawa usaha-usaha kolektif APEC untuk melaksanakan 'Bangkok Goals on Bio-Circular Green Economy' akan terus berkepentingan dalam mencapai pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Oleh yang demikian, baginda mengalu-alukan kerjasama melalui institusi-institusi iklim serantau seperti Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam yang akan menyumbang kepada pembangunan pakar dan peningkatan kapasiti dalam menangani isu-isu berkaitan iklim di rantau ini.
Sumber berita Pelita Brunei