Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Perkukuh persahabatan muhibah Brunei - China
16/11/2023

hm_1711232.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat ke Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping, yang berlangsung di St. Regis. 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Semasa Majlis Perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa 2023 menandakan Ulang Tahun Ke-5 Strategic Cooperative Partnership antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China dan menzahirkan harapan untuk terus sama-sama berusaha bagi meningkatkan lagi persahabatan muhibah yang telah lama wujud antara kedua-dua buah negara. 

Mengenai hubungan dua hala, Baginda berpuas hati dengan kemajuan dalam kerjasama perdagangan dan pelaburan, pertanian dan perikanan, pendidikan dan pertukaran antara masyarakat. Baginda juga menyatakan bahawa kerjasama telah memperluaskan 'big data' dan 'artificial intelligence'. 

Baginda memaklumkan bahawa Fasa 1 projek Hengyi telah selesai dilaksanakan dan Fasa 2, di mana perjanjian telah ditandatangani pada 8 November 2023, akan bermula. 

Dengan persetujuan China, baginda menyatakan harapan terhadap penyelesaiannya menjelang akhir tahun ini. 

Seterusnya, baginda menzahirkan penghargaan atas biasiswa-biasiswa dan latihan yang ditawarkan oleh Hengyi, yang telah membantu negara membina kapasiti teknikal dan tenaga manusia. 

Di samping itu, baginda menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam berminat untuk memanfaatkan kepakaran China dalam bidang-bidang tenaga yang boleh diperbaharui dan inisiatif hijau yang akan melengkapkan usaha-usaha nasional dan serantau. 

Tambahan pula, Brunei juga berminat untuk meneroka dan mengembangkan eksport produk pertanian dan perikanan ke China. 

Menyentuh mengenai hubungan antara rakyat, baginda berpandangan bahawa penyambungan semula perhubungan antara Brunei dan China akan menggalakkan lagi sektor pelancongan masing-masing. 

Baginda menekankan kepentingan untuk memastikan Laut China Selatan akan terus aman dan stabil. 

Baginda seterusnya bertitah bahawa sebarang ketegangan di rantau ini adalah perkara yang amat membimbangkan dan apa jua isu yang timbul perlu ditangani melalui dialog dan perundingan secara aman berdasarkan undang-undang antarabangsa, termasuk 1982 United Nations Convention of the Law of the Sea. 

Baginda berharap akan dapat bekerjasama rapat dengan China dalam merundingkan Code of Conduct yang akan bermakna kepada kedua-dua pihak dan menjadi contoh kepada masyarakat antarabangsa dari segi hasrat kolektif ke arah keamanan dan keselamatan di rantau ini. 

Tuan Yang Terutama Presiden Republik Rakyat China mengetengahkan tentang sejarah persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China. 

Memandangkan tahun ini menandakan Ulang Tahun Ke-5 Strategic Cooperative Partnership antara kedua-dua buah negara, China bersedia untuk bekerjasama dengan Brunei untuk terus memajukan hubungan dua hala, dan terus mempromosikan kerjasama yang berkualiti tinggi dalam Inisiatif Belt and Road (BRI) untuk membawa lebih banyak faedah kepada rakyat di kedua buah negara. 

Perbincangan juga termasuk perkara-perkara serantau yang berkepentingan bersama, seperti Kerjasama Asia Timur dalam mengukuhkan struktur ASEAN, Brunei sebagai hab bagi wilayah BIMP-EAGA, dan penghargaan atas sokongan Brunei terhadap penyertaan China kepada CPTPP. 

Kedua-dua Pemimpin turut menyatakan kebimbangan terhadap keganasan yang berterusan di Jalur Gaza, dan berdiri dalam solidariti dalam menantikan penyelesaian dua negara. 

Kebawah DYMM berada di Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri Asia-Pacific Economic Leaders' Meeting (AELM) yang diadakan pada 15 hingga 17 November 2023 dan akan dipengerusikan oleh Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr., sebagai Pengerusi APEC bagi Tahun 2023.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​