Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat balik meninggalkan San Francisco, AS
17/11/2023

hm_1711231.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berangkat meninggalkan San Francisco, Amerika Syarikat (AS) setelah menghadiri Asia-Pacific Economic Leaders Meeting (AELM). 

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco bagi menyembahkan selamat berangkat ke hadapan majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Assistant Chief of Protocol, State Department AS. 

Juga hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke AS, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Serbini bin Haji Ali. 

Asia-Pacific Economic Leaders' Meeting (AELM) telah dipengerusikan oleh Presiden AS, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr., sebagai Pengerusi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) bagi tahun 2023. 

Dengan tema 'Mewujudkan Masa Depan Yang Berdaya Tahan dan Mampan Untuk Semua' (Creating a Resilient and Sustainable Future for All), perbincangan semasa AELM termasuk kemampanan, iklim, peralihan tenaga yang adil, kesalinghubungan dan membina ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan. 

Pada penghujung AELM berkenaan, APEC Leaders' 2023 Golden Gate Declaration Creating a Resilient and Sustainable Future for All dikeluarkan. 

Sebagai sebahagian daripada hasil APEC 2023, Negara Brunei Darussalam (NBD), Indonesia dan Malaysia mengeluarkan satu 'Joint Statement on the occasion of the 30th APEC Economic Leaders' Meeting' (AELM). 

Tuan Yang Terutama Presiden AS telah menyerahkan kedudukannya sebagai Pengerusi APEC AELM kepada Presiden Peru, Puan Yang Terutama Dina Boluarte. 

Peru akan menjadi tuan rumah APEC bagi tahun 2024. 

APEC ialah forum ekonomi serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik dan untuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan yang bebas, adil dan terbuka. 

APEC terdiri daripada 21 ekonomi di rantau Asia-Pasifik, iaitu Australia; NBD; Canada; Chile; Republik Rakyat China; Hong Kong, China; Indonesia; Jepun; Republik Korea; Malaysia; Mexico; New Zealand; Papua New Guinea; Peru; Republik Filipina; Persekutuan Rusia; Singapura; Chinese Taipei; Thailand; AS; dan Viet Nam. 

Selain menghadiri AELM semasa berada di San Francisco, Kebawah DYMM juga berangkat bagi menghadiri the APEC Welcome Reception; Second Indo-Pacific Economic Framework for Prosperity (IPEF) Leaders' Meeting; Majlis Santap Malam bagi APEC Economic Leaders; Majlis Perjumpaan dengan Naib Presiden Kanan Syarikat Boeing dan Presiden Boeing Global, Mr. Brendan Nelson serta Majlis-majlis Perjumpaan Dua Hala secara berasingan dengan Presiden Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Võ Văn Thưởng; dan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​