Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan berangkat ke Majlis Jambori Pengakap 2023
04/12/2023

hm_041223.jpg

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Penaung Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) dan Penaung Kehormat Pengakap Sedunia bercemar duli ke Majlis Jambori Pengakap 2023 mencerminkan keprihatinan baginda terhadap penglibatan golongan muda dalam pasukan beruniform khususnya pergerakan berpengakap di negara ini.

Berangkat sama ke majlis yang diadakan di Padang Dewan Kemasyarakatan Bukit Bendera, Daerah Tutong, di sini ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri juga selaku Ketua Pengakap PPNBD; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri dan Yang Dipertua PPNBD, Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas.

Sejurus keberangkatan baginda, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan. Seterusnya bacaan Surah Al-Fatihah, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Ahli Pengakap Kelana, Pasukan Kelana Terbuka Tutong 2020, Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune. Seterusnya, Persetiaan Pengakap dipimpin oleh Ahli Pengakap Kelana, Pasukan Kelana Terbuka 1033, Awang Adam Rusydan bin Haji Ramli dan disusuli dengan sembah alu-aluan daripada Yang Dipertua PPNBD.

Pada majlis itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga berkenan mengurniakan titah dan seterusnya berkenan merasmikan Jambori Nasional Ke-5.

Baginda dan kerabat diraja berkenan menyaksikan tayangan klip video perasmian dan satu Persembahan Nyanyian Koir 'Scout on the move'. Selepas itu, baginda berserta kerabat diraja berkenan menyaksikan Persembahan Padang yang merupakan gabungan Persembahan Medley bermula dengan kesediaan pengakap menampilkan seni bina diri daripada kanak-kanak Tunas berumur 12 tahun kebawah, Persembahan Semaphore dan Persembahan Tarian 7 Puak Brunei.

Seterusnya, baginda dijunjung bagi menyempurnakan penganugerahan Bintang-bintang Tertinggi Pengakap kepada pemimpin-pemimpin pengakap iaitu Anugerah Bintang Rakis, Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas Kedua dan Pingat Anugerah Persahabatan Antarabangsa Brunei. 

Seramai empat penerima Anugerah Bintang Rakis yang merupakan Anugerah Bintang Tertinggi PPNBD yang dianugerahkan kepada ahli persekutuan pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap dan individu-individu yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang serta terlibat secara langsung dengan pergerakan pengakap di negara ini dalam tempoh tujuh tahun secara berterusan atau secara kumulatif.

Sementara itu, dua penerima Anugerah Bintang Jasa Cemerlang Kelas Kedua. Anugerah ini dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin pengakap, individu-individu yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang serta terlibat secara langsung dengan pergerakan pengakap di negara ini dalam tempoh lima tahun secara berterusan atau secara kumulatif.

Manakala seramai enam penerima Pingat Anugerah Persahabatan Antarabangsa Brunei yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin pengakap luar negara yang memberikan perkhidmatan cemerlang dalam perhubungan persahabatan dengan PPNBD serta terlibat secara langsung dengan perkembangan pergerakan pengakap di negara ini. Setelah itu, baginda dijunjung menerima pesambah.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung berkenan bagi sesi bergambar ramai. Baginda kemudiannya dijunjung untuk menyaksikan pameran-pameran daripada agensi-agensi yang terlibat di dalam Jambori tersebut antaranya Sekretariat SDGs; Jabatan Pendidikan Kokurikulum; STEPS; Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC); Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Jabatan Muzium-muzium; Pusat Sejarah Brunei; Dewan Bahasa dan Pustaka; MOP dan Pengumpul Kelab Pengakap.

Kemudian baginda berserta kerabat diraja dijunjung untuk bercemar duli ke tapak perkhemahan dan seterusnya melawat aktiviti yang diadakan di kawasan berkenaan. Terdahulu, baginda dan kerabat diraja dipersembahkan mengenai aktiviti-aktiviti sepanjang Jambori.

Baginda seterusnya dijunjung bagi menanam sepohon Pokok Tulong dan diikuti oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota di hadapan pintu gerbang utama perkhemahan tersebut.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda dan kerabat diraja dijunjung melawat ke sub-sub kem peserta perkhemahan tersebut.

Pergerakan pengakap di negara ini mula ditubuhkan pada tahun 1933 oleh Allahyarham Dato Paduka Awang Haji Marsal bin Maun dengan keramaian ahlinya pada peringkat awal seramai 12 orang. Sebagai salah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang tertua, pergerakan pengakap di Brunei terus berkembang apabila pergerakan ini menubuhkan cawangannya di Daerah Tutong pada tahun 1936 manakala pada tahun 1940, Daerah Belait pula mengikuti jejak Daerah Tutong sementara di Daerah Temburong hanya dikenal pasti penubuhannya bermula pada tahun 1974.

Sejak mula ditubuhkan dalam tahun 1933, pergerakan Pengakap Brunei Darussalam melangkah setapak demi setapak mengikuti arus dan perkembangan pergerakan pengakap seluruh dunia sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa. Berdasarkan perjalanan pergerakan pengakap yang telah mencapai usianya 90 tahun, berbagai-bagai kejayaan dan kecemerlangan telah dicapai oleh PPNBD hasil daripada bimbingan kepimpinan yang terdahulu. 

Sementara itu, 'Scouts on The Move' merupakan tema perkhemahan dan juga tema sambutan 90 tahun pergerakan ini selama setahun. Tema ini adalah terjemahan yang menggambarkan para pengakap untuk sentiasa aktif dan bersedia mara ke hadapan dengan berbekalkan nilai yang terkandung dalam persetiaan dan undang-undang pengakap. Kemahiran-kemahiran Abad Ke-21 dijadikan sebagai 'skills set' yang perlu dipelajari dan digarap oleh ahli pengakap untuk kekal relevan pada masa hadapan.

Jambori Nasional Ke-5 merupakan acara kemuncak Sambutan Pergerakan Pengakap pada Tahun 2023 yang bermula dari 2 Disember 2023 hingga 7 Disember 2023. Rasional Penganjuran Jambori Ke-5 adalah bagi Memperingati 90 Tahun Pergerakan Pengakap di negara ini dengan mengumpulkan ahli-ahli pengakap yang menjurus kepada peningkatan visibiliti PPNBD melalui kegiatan Jambori.

Antara tujuan Jambori ini dianjurkan iaitu bagi meningkatkan dan menggalakkan interaksi dalam kalangan pengakap dan memupuk dan menyemai persahabatan dan kerjasama dalam kalangan pengakap.

Jambori ini adalah merupakan kegiatan perkhemahan yang dihasratkan mengumpulkan ahli-ahli pengakap dari dalam dan luar negeri. Jambori ini dianjurkan di Daerah Tutong kerana daerah ini merupakan tempat pertama diadakan Perkhemahan Pengakap Senegeri pada tahun 1933. Bagi mengenang kembali nostalgia berkenaan, pada tahun 2023 Daerah Tutong dijadikan tempat berlangsungnya Jambori Nasional Ke-5.

Sebanyak 800 peserta dari dalam dan luar negara menghadiri Jambori ini. Antara peserta pengakap dari luar negara yang menghadiri Jambori ialah Malaysia (Selangor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Labuan, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Republik Singapura, Republik Indonesia dan Thailand.

PPNBD telah pun menyusun pelbagai kegiatan-kegiatan yang dapat menjadi daya tarikan bagi peserta yang terdiri daripada Ahli Pengakap Tunas, Pengakap Muda dan Pengakap Remaja di sepanjang Jambori tersebut. Aktiviti yang dirancang meliputi enam tema utama di antaranya Kemahiran Kepengakapan; Kebudayaan dan Permainan; Sustainable Development Goals; Lawatan; Keagamaan dan Kegiatan Rutin; dan Kegiatan Air. Kegiatan bagi Ahli Pengakap Dewasa juga turut dirancang seperti Perjumpaan Pemegang Manikayu dan Indaba.

Aktiviti tersebut diharap dapat memberikan pengalaman yang berharga kepada peserta dalam dan luar negara nanti agar ia menjadi ristaan. Semasa Jambori berkenaan juga diadakan pameran-pameran daripda agensi kerajaan, swasta dan juga NGOs dalam sama-sama memeriahkan Jambori Nasional Ke-5.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​​