Seramai 1,902 graduan hari ini berjaya menerima sijil dalam pelbagai program latihan pada Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Teknik Brunei (Institute of Brunei Technical Education-IBTE) Ke-31.
Daripada jumlah tersebut, 62 orang graduan terdiri daripada pelatih Akademi TVET; 70 graduan dari peringkat Diploma; 972 graduan lagi dari peringkat Sijil Tertinggi Kebangsaan Pendidikan Teknik (HNTec); 380 orang graduan dari peringkat Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknik (NTec) dan 418 orang graduan dari peringkat Sijil Kemahiran Kelayakan Perindustrian (ISQ).
Majlis diadakan dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan pada sebelah pagi ialah, Timbalan Menteri (Tenaga), Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, selaku Pengerusi Lembaga Pengelola IBTE
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd. Redhuan bin Haji Marjuki dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat Suci Al-Quran daripada pelajar IBTE Kampus Nakhoda Ragam, Awang Muhammad Sakhwai bin Saiful.
Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pendidikan Teknik / Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr. Haji Mohd. Zamri bin Haji Sabli yang menekankan bahawa pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam pembangunan negara iaitu sebagai salah satu cabang pendidikan yang menghasilkan tenaga kerja mahir, bagi memenuhi dan menepati keperluan majikan, ke arah menyokong pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
Menurut beliau, konvokesyen pada tahun ini akan menyaksikan beberapa anugerah kepada para graduan yang mencapai kecemerlangan dalam pengajian akademik iaitu 'Anugerah Pelajar Terbaik' di semua peringkat persijilan.
Beberapa anugerah juga tambahnya, akan diberikan kepada para graduan yang mencapai kecemerlangan melalui penglibatan dalam aktiviti yang memupuk kemahiran abad ke-21 (21st century skills).
Malah, buat pertama kalinya 'Anugerah Cemerlang IBTE STARs' juga katanya, akan diberikan kepada graduan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang melalui IBTE STARs.
Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis.
Selepas itu, diikuti dengan penyampaian sijil-sijil kepada para graduan dari Akademi TVET, peringkat Diploma dan peringkat HNTec.
Sejurus selepas itu, tetamu kehormat majlis turut menyampaikan Anugerah Best Teacher Trainee, Anugerah Academic Excellence, Anugerah STARS Excellence dan Anugerah Chinese Ambassador.
Anugerah Chinese Ambassador merupakan anugerah yang diberikan khusus bagi pelajar yang mengikuti program kerjasama antara Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dengan Kementerian Pendidikan, dan meliputi para pelajar yang terdiri daripada lima buah institusi pendidikan tinggi termasuk IBTE.
Tujuan diperkenalkan adalah untuk mendorong dan menggalakkan lebih ramai lagi pelajar tempatan untuk terlibat sama khususnya dalam kerjasama dua hala, di bawah rangka kerja 'Belt and Road Initiative'.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk menyuntik semangat inspirasi belia berbakat yang mempunyai prestasi cemerlang, sentiasa bergiat aktif dalam menyumbang pembangunan negara serta menggalakkan kerjasama praktikal kedua-dua buah negara.
Majlis Konvokesyen IBTE Kali Ke-31 diteruskan lagi pada sebelah petang dengan penyampaian sijil-sijil kepada para graduan seramai 798 orang dari peringkat NTec dan ISQ, dan kemudian diikuti dengan penyampaian Anugerah Academic Excellence kepada empat orang penerima.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada para graduan bagi sesi petang ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Awang Haji Azman bin Ahmad.
Turut hadir pada majlis konvokesyen berkenaan ialah Ahli-ahli Lembaga Pengelola IBTE serta para ibu bapa dan ahli keluarga para graduan yang diraikan.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto