Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Jambori: Wadah meningkatkan, memupuk kerjasama pengakap
07/12/2023
dpmm_071223.jpg 

Jambori Nasional ke-5 dianjurkan bersempena sambutan 90 tahun pergerakan pengakap di Negara Brunei Darussalam, dengan tujuan bagi meningkatkan dan menggalakkan interaksi di kalangan pengakap; memupuk dan menyemai persahabatan dan kerjasama dalam kalangan pengakap; dan mengenali serta menyemai sikap menghormati kepelbagaian. 

Sehubungan itu, Majlis Penutup Rasmi Jambori Nasional Ke-5 diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) pada majlis yang berlangsung di Padang Dewan Kemasyarakatan Bukit Bendera, Daerah Tutong, di sini. 

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Pemangku Menteri Pendidikan; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri; dan Yang Dipertua PPNBD (President), Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi. 

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. 

Sejurus keberangkatan, Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan' dimainkan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Ahli Pengakap Kelana, Pasukan Kelana Terbuka Tutong 2020 (2020 Tutong Rover Crew members), Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune. 

Seterusnya, ikrar Persetiaan Pengakap pula dipimpin oleh Ahli Pengakap Kelana, Pasukan Kelana Terbuka 1033 (1033 Rover Crew members), Awang Ahmad Termizie bin Ahmad Baihakie. 

Yang Dipertua PPNBD, Dato Paduka Ar. Haji Idris bin Haji Abas, dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan mengenai Tema Jambori iaitu 'Scout On The Move' dengan pengertian yang mencerminkan para pengakap yang sentiasa aktif dan bersedia menghadapi cabaran-cabaran dunia semasa, secara langsung dan tidak langsung telah dapat dipraktikkan di dalam berbagai-bagai aktiviti-aktiviti dan program yang dilalui peserta di sepanjang Jambori ini. 

“Peluang-peluang dan kesempatan untuk meningkatkan dan menggalakkan interaksi di kalangan pengakap-pengakap tempatan dan luar negeri setentunya tidak dilepaskan dan justeru itu akan memupuk dan menyemai persahabatan dan kerjasama di kalangan peserta-peserta Jambori. InsyaAllah, semoga persahabatan ini akan diteruskan setelah peserta-peserta pulang ke tempat dan negeri masing-masing. 

“Inilah 'mission' dan matlamat mengadakan Jambori untuk mengumpulkan ahli-ahli Pengakap sepertimana juga diadakan Jambori Pengakap Sedunia pada setiap 4 tahun sekali yang mana kita juga pernah menyertainya pada bulan Ogos yang lalu di Korea – World Scout Jambori. InsyaAllah World Scout Jambori seterusnya akan diadakan di Poland pada tahun 2027. Semoga kita akan diberi kesempatan untuk menyertainya. Melalui Jambori juga boleh dijadikan sebagai satu wadah bagi ahli-ahli pengakap untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran," sembah Yang Dipertua PPNBD lagi. 

Sementara itu, dalam laporan yang disembahkan oleh Ketua Pesuruhjaya PPNBD (Chief Commissioner), Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali yang juga selaku Kem Komandan Jambori Nasional Ke-5, memaklumkan mengenai laporan perkembangan kegiatan sepanjang berlangsungnya Jambori Nasional Ke-5. 

Ketua Pesuruhjaya PPNBD antara lain menyembahkan, jumlah penyertaan Jambori kali ini iaitu hampir 900 orang peserta di mana seramai 384 peserta tempatan dan sejumlah 510 peserta dari negara-negara jiran seperti, Indonesia 288 orang, Malaysia 209 orang, Singapore 10 orang dan Thailand seramai lima orang. 

Turut disembahkan ialah mengenai kegiatan-kegiatan dilaksanakan berdasarkan enam tema utama iaitu kemahiran kepengakapan, (yang telah dijalankan di sekitar tempat jambori), Sustainable Development Goals (SGDs), keagamaan dan rutin (tempat beribadah disediakan), kebudayaan dan permainan (yang diadakan dalam dan di tempat lawatan), lawatan-lawatan ke tempat-tempat yang menarik (tempat dan masyarakat kampung), dan kegiatan-kegiatan air seperti berkayuh, 'waterpolo', dan sebagainya.

Duli Yang Teramat Mulia kemudian berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya sabda Pengisytiharan Penutupan Rasmi Jambori Nasional Ke-5. 

Setelah itu, DYTM berkenan menyaksikan tayangan klip video daripada para peserta Jambori, dan seterusnya berkenan menyaksikan persembahan dari Johan Malam Kebudayaan. 

Pada majlis tersebut, DYTM juga berkenan mengurniakan Penganugerahan Anugerah Pengakap Sultan kepada tujuh orang Ahli Pengakap Remaja (Venture Scout), Anugerah Baden Powell (Baden Powell Award) kepada 20 orang ahli Pengakap Kelana, dan penyampaian cenderamata serta sijil-sijil penyertaan kepada kontinjen-kontinjen yang menyertai jambori. 

Pengakap Remaja merupakan bahagian ketiga dalam siri latihan berpengakap selepas Bahagian Pengakap Tunas dan Bahagian Pengakap Muda, yang mana bahagian ini terdiri daripada belia yang berumur dari 16 tahun hingga 18 tahun. 

Anugerah Pengakap Sultan pula merupakan anugerah tertinggi bagi Bahagian Pengakap Remaja (Venture Scout), dan para penerima Lencana Pengakap Sultan adalah mereka yang layak dan diiktiraf oleh PPNBD setelah lulus menjalani beberapa ujian antaranya ialah Kursus Kepimpinan Pengakap Remaja, Kursus Pertolongan Kecemasan serta membuat perkhidmatan kemasyarakatan melebihi masa 48 jam. 

Sebelum dianugerahkan, ahli Pengakap Remaja perlu memenuhi keperluan untuk lulus Anugerah Pengakap Remaja sebelum dapat melanjutkan untuk mendapatkan Anugerah Pengakap Sultan. 

Pengakap Kelana pula merupakan bahagian terakhir dalam program latihan belia, yang mana Ahli Pengakap Kelana merupakan belia berumur antara 18 hingga 26 tahun, dan adalah kesinambungan daripada Pengakap Remaja, dan berpotensi untuk menjadi pemimpin. 

Anugerah Baden Powell merupakan anugerah tertinggi bagi Bahagian Kelana (Rover Scouts), di mana para menerima hendaklah lulus lencana di dalam Skim Latihan Pengakap Kelana (Rover Scouts Scheme). 

Salah satu lencana yang perlu Pengakap Kelana ambil adalah Lencana Kenegaraan, yang mana fokus lencana tersebut adalah menjuruskan kepada falsafah Melayu Islam Beraja. 

Selain itu juga penerima anugerah tersebut perlu lulus lencana-lencana yang menjurus kepada fizikal, kemahiran pengakap dan juga kemahiran hidup, keusahawanan dan perkhidmatan. 

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menerima pesambah, dan seterusnya dijunjung bagi sesi bergambar ramai. 

Jambori Nasional Ke-5 diadakan selama enam hari bermula 2 hingga 7 Disember 2023, dan telah berjaya menghimpunkan hampir 900 peserta jambori dari negara-negara ASEAN. 

Kegiatan yang dikendalikan sepanjang jambori banyak memberikan faedah kepada para peserta melalui kegiatan yang dijalankan. 

Selain memperkembangkan minda, ia juga memberi pengetahuan tentang kepimpinannya yang dapat membina keyakinan diri para peserta. 

Penekanan terhadap Matlamat Pembangunan Mapan / Sustainable Development Goal juga diterapkan dan ditekankan di sepanjang kegiatan jambori. 

Melalui Jambori tersebut, ia juga dapat menanamkan sikap bertanggungjawab dalam persediaan mereka sebagai pemimpin masa depan; membuka ruang dan peluang bagi bertukar-tukar fikiran dan pendapat serta pengalaman di kalangan pengakap; meningkatkan nilai-nilai hidup bermasyarakat serta mencintai agama, bangsa dan negara; dan membangunkan kecergasan jasmani dan kemantapan rohani peserta supaya menjadi tabah serta berfikiran luas dan terbuka.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​​