Syarikat Pemasaran Brunei Shell (Brunei Shell Marketing - BSM) Sendirian Berhad dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) menganjurkan Brunei Smart Mobility Expo 2023 sempena Festival Disember Brunei (BDF) 2023.
Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat dan melancarkan Brunei Smart Mobility Expo 2023 di Dewan I BRIDEX ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha dan diiringi oleh Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil.
Acara ini menawarkan pengunjung-pengunjung dengan produk dan kemajuan teknologi terkini dalam bidang automotif di samping, memberikan pandangan yang mendalam mengenai pemegang mobiliti pintar.
Dalam masa yang sama, ianya juga memerlukan integrasi yang lancar daripada pengangkutan yang mampan, infrastruktur canggih, pendigitalan dan runcit yang selesa.
Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee dalam ucapan alu-aluannya berkata tujuan ekspo ini adalah, untuk mewujudkan pameran automotif tahunan yang menawarkan pengunjung pengalaman langsung dengan produk dan teknologi terkini dalam mobiliti landskap.
“Kami berharap pengalaman yang ditawarkan akan memberikan pengunjung cerapan mendalam tentang masa depan untuk mobiliti pintar. Ia adalah aspirasi kami untuk mencipta masa depan di mana keselamatan, kecekapan, dan kemudahan menjadi keutamaan dalam rutin harian pelanggan kami," ujar beliau.
Pada ekspo berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi juga melancarkan E-book Highway Code dan juga Kaji selidik Pengangkutan Bas Awam di Pameran MTIC dan MKKJR.
Turut hadir menyaksikan pelancaran tersebut ialah Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; Setiausaha Tetap, MTIC, Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, selaku Ahli MKKJR, dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, selaku Setiausaha MKKJR.
E-book Highway Code (HWC) dalam bentuk elektronik yang dilancarkan adalah panduan kod jalan raya edisi terkini yang mengandungi lima bahagian iaitu Papan Tanda Lalulintas Jalan Raya; Tanda Lalulintas Jalan Raya; Isyarat Lalulintas Jalan Raya; Akta dan Peraturan Lalulintas Jalan Raya; dan Peraturan Memandu dan Tingkahlaku Pemandu.
Objektif mengadakan HWC edisi terkini tahun 2023 ini, selain daripada tujuan utamanya untuk mengemas kini perisiannya, ianya dihasratkan untuk menjadi sebagai bahan rujukan dan pembelajaran dengan maklumat-maklumat yang relevan dan terkini, dan setentunya sebagai panduan pemandu atau pengguna-pengguna jalan raya, memahami akan aspek-aspek keselamatan dan seterusnya untuk mengamalkan pematuhan ke atas peraturan-peraturan jalan raya semasa memandu.
Edisi HWC ini mengandungi hal ehwal peraturan jalan raya yang berkaitan dengan penambahan maklumat-maklumat mengenai papan-papan tanda lalu lintas jalan raya (road traffic signs) dan tanda-tanda Jalan (road markings) yang sedia ada dan baharu. Dalam masa yang sama, edisi HWC terkini ini juga menekankan hal ehwal tingkah laku pemandu semasa memandu di jalan raya.
Bukan itu sahaja, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan melaksanakannya penggunaan edisi terkini HWC ini secara berperingkat, iaitu bagi peringkat permulaannya dibarigakan dan disalurkan kepada Sekolah-Sekolah Memandu untuk diguna pakai dalam pembelajaran latihan dan ujian memandu, dan peringkat seterusnya adalah bagi orang ramai mengakses edisi terkini HWC ini pada suku pertama tahun 2024.
Kaji selidik Pengangkutan Bas Awam di samping itu juga, perkembangan, perancangan dan pendekatan awal mengenai Pengangkutan Bas Awam di Negara Brunei Darussalam juga turut dikongsikan semasa pameran tersebut.
Ianya adalah sebagai salah satu inisiatif MTIC dan JPD dalam mendapatkan pandangan dan input daripada pelbagai pihak-pihak berkepentingan ke arah menyusun strategi jangka panjang dalam mewujudkan sistem kesalinghubungan yang cekap, dan mudah diakses bagi memudah cara mobiliti setiap lapisan rakyat dan penduduk. Secara amnya kaji selidik tersebut adalah untuk memahami keperluan pengangkutan awam dan meningkatkan lagi kefahaman serta pandangan orang ramai mengenainya.
Selain daripada cadangan untuk meningkatkan hubungan dan kebolehpercayaan rangkaian laluan teras (core network routes) perkhidmatan bas awam, ianya juga dicadangkan dapat dilengkapi dengan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan (ondemand transport) secara berkongsi tumpangan mahupun persendirian dengan memanfaatkan teknologi e-hailing.
Kaji selidik ini juga akan dilengkapkan dengan maklumat-maklumat yang diperolehi daripada pihak industri dan penyedia perkhidmatan melalui proses Permintaan Maklumat (Request for Information) yang juga sedang berjalan.
Dalam ekspo ini turut menyaksikan secara langsung (livefeed) Smart Mobility Operation Cloud (SMOC) yang mana dapat menyediakan beberapa maklumat, antaranya adalah kedudukan dan pergerakan bas secara langsung; anggaran masa ketibaan bas di perhentian bas secara langsung; dan statistik penumpang bas dan laluan.
SMOC ini adalah salah satu projek rintis Sistem Maklumat Bas Penumpang yang dilancarkan pada 3 Disember 2022 sehingga kini, dengan kerjasama di antara MTIC, Ministry of Land, Infrastructure, Transport and Tourism (MLIT), Japan serta JPD melalui program Smart City yang disokong oleh Japan ASEAN Mutual Partnership (Smart JAMP) di bawah ASEAN Smart Cities Network (ASCN).
Selain itu, turut menyaksikan adalah usaha berterusan daripada pihak MKKJR dalam meningkatkan keselamatan pengguna-pengguna di jalan raya sepertimana kegiatan-kegiatan Keselamatan Jalan Raya yang memfokuskan kepada kaedah-kaedah penggunaan teknologi yang telah dilaksanakan oleh Kumpulan-Kumpulan Tindakan MKKJR iaitu Kumpulan Tindakan Technical dan Infrastructure (KTTI); Kumpulan Tindakan Penyelidikan dan Perkembangan (KTPP); Kumpulan Tindakan Media dan Pemberigaan (KTMP); dan Kumpulan Tindakan Undang-Undang dan Penguatkuasaan (KTUP) sepanjang tahun 2023 ke arah mencapai Visi MKKJR iaitu 'Sifar Kemalangan Jalan Raya Maut'.
Manakala buku Edisi Kedua 'The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam' versi Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh JPD juga dipaparkan di pameran tersebut sebagai salah satu inisiatif di bawah Kumpulan Tindakan Undang-Undang dan Penguatkuasaan (KTUP) yang dilaksanakan di bawah 'The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025'.
Ianya bertujuan sebagai rujukan yang merangkumi sebahagian besar aspek pemanduan di Negara Brunei Darussalam dan adalah mudah diakses dan mesra pengguna untuk semua pengguna jalan raya.
MKKJR juga turut memaparkan pemenang-pemenang Pertandingan Lukisan Poster Keselamatan Jalan Raya bagi Sekolah-Sekolah Rendah Tahun 2023 Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2023 (WDR 2023).
Di kesempatan ini jua, perkhidmatan JPD iaitu perkhidmatan dalam talian Nomborku juga turut dipaparkan di astaka pameran MTIC dan MKKJR. Perkhidmatan ini adalah merupakan platform dalam talian bagi orang ramai yang ingin mendapatkan Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) melalui Tawaran Tertutup dan Tawaran Terbuka. Nomborku diperkenalkan kepada orang ramai pada 24 Februari 2021, dan telah pun memenangi Anugerah Perak Perkhidmatan Awam kali Ke-30 pada tahun ini.
Dalam kesempatan ini, MKKJR Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna-pengguna jalan raya supaya akan sentiasa meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah.
Pemandu berhemah sentiasa mementingkan keselamatan, baik sebelum memandu ataupun semasa memandu. Semasa berada di jalan raya, seseorang pemandu hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang baik bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Keselamatan Jalan Raya bergantung kepada awda dan saya.
Brunei Smart Mobility Expo 2023 diadakan selama tiga hari bermula pada 8 hingga 10 Disember 2023 dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam di Dewan 1, BRIDEX, Jerudong.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang berkunjung ke Brunei Smart Mobility Expo 2023.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto