Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Galak penglibatan masyarakat dalam kerja sukarela
10/12/2023

mjpm_101223.jpg

Hari Sukarelawan Antarabangsa adalah mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diadakan pada 5 Disember setiap tahun dan ia dilihat sebagai peluang unik untuk sukarelawan dan organisasi meraikan usaha mereka, berkongsi dan mempromosi kerja mereka serta menyumbang kepada keamanan dengan menyokong pengiktirafan sukarelawan dalam program pembangunan.

Sehubungan itu, Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) khususnya Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah mengadakan Kempen Hari Bertindak (DOA) sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2023 dengan tema 'If Everyone Did' Kerja Sukarela, Andai Semua Orang Melakukannya' dilaksanakan secara serentak di keempat-empat daerah bermula hari ini hingga 31 Januari 2024 hadapan.

Majlis Pelancaran dan Penghargaan Kempen DOA diadakan di Hab Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral(B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir menyertai aktiviti Kempen DOA di Daerah Brunei dan Muara ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Mohamad; Setiausaha Tetap (Kebeliaan) KKBS, Awang Haji Zakaria bin Haji Serudin; Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Md. Salleh.

Terdahulu, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Haji Morshidi  dalam alu-aluannya menyatakan, KKBS, melalui JBS, sekali lagi dapat mengungkayahkan Kempen DOA atau dikenali juga sebagai Day of Action (DOA) bagi tahun ini. Inisiatif ini dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa bagi Tahun 2023.

Hari Sukarelawan Antarabangsa atau International Volunteer Day, lazimnya disambut pada setiap 5 Disember di seluruh dunia. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam telah turut serta meraikannya, sejak tahun 2012 lagi. Adapun tema Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa pada tahun ini ialah 'Andai Semua Orang Melakukannya' atau dalam bahasa Inggeris 'If Everyone Did'. Tema ini memberikan isyarat ataupun indikasi bahawa betapa tindakan secara kolektif dari semua peringkat masyarakat, dalam kerja-kerja sukarela mampu memberikan impak yang lebih luas dan mampan khususnya dalam pembangunan masyarakat, bangsa dan negara.

Kempen DOA adalah merupakan salah satu inisiatif berterusan KKBS melalui JBS dalam rangka meraikan Hari Sukarelawan Antarabangsa. Ia mula diungkayahkan pada tahun 2015 dan bertujuan untuk mengalakkan lagi penglibatan secara aktif semua lapisan masyarakat dalam kerja-kerja sukarela.

"Kempen DOA pada tahun ini diisikan dengan beberapa pengisian iaitu pertama Festival Sukarelawan yang telah bermula pada 6 hingga 10 Disember 2023 bertempat di Hab Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

"Keduanya, pada pagi ini, iaitu Majlis Pelancaran dan Penghargaan Kempen DOA, yang akan diserikan dengan penyampaian penghargaan kepada lima Trailblazers dan lima Highflyers Aplikasi Mengalinga bagi Sesi Tahun 2022 / 2023; penyampaian sijil kepada para peserta Program Sukarelawan ASEAN 2023; dan penyampaian sijil penghargaan kepada penaja-penaja Kempen Hari Bertindak Tahun 2023; perlepasan Konvoi Vespa menghantar barang-barang bantuan; dan lawatan serta menyertai aktiviti-aktiviti sukarela.

"Selanjutnya yang ketiga ialah Maraton Aktiviti Sukarelawan yang mana telah bermula pada 20 November 2023 dan akan berakhir pada 31 Januari 2024 yang akan datang. Alhamdulillah, Maraton Aktiviti Sukarelawan mendapat sambuatan yang sangat baik di mana setakat ini sebanyak 106 pendaftaran aktiviti sukarela telah direkodkan, " tambahnya lagi.

Dayang Zainab selaku Pengerusi Bersama Majlis mengongsikan mengenai perkembangan aplikasi Mengalinga iaitu satu platform digital bagi mendaftarkan tawaran program dan kegiatan sukarela dari organisasi-organisasi di seluruh Brunei Darussalam.

Sejak ia mula dilancarkan pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-16 pada 7 Ogos 2021 yang lalu, Aplikasi Mengalinga telah merekodkan seramai 3,711 orang sukarelawan 148 organisasi dan sebanyak 437 projek. 

"Kita semua amatlah berharap, semoga dengan adanya Kempen Hari Bertindak, aplikasi Mengalinga dan apa jua inisiatif-inisiatif lain seumpamanya, akan dapat meningkatkan lagi semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat di negara ini dan seterusnya dapat membentuk serta melahirkan sebuah masyarakat yang prihatin dan memiliki semangat perpaduan yang tinggi,"ujarnya lagi.

Pada majlis pelancaran itu, Yang Berhormat juga menyampaikan sijil penghargaan kepada lima Trailblazers Aplikasi Mengalinga bagi Sesi 2022-2023 dan juga lima highflyers Aplikasi Mengalinga bagi sesi 2022-2023.

Yang Berhormat Menteri kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya juga menyampaikan sijil kepada peserta-peserta Program Sukarelawan ASEAN 2023 dan penaja-penaja Kempen Hari Bertindak 2023.

Selain itu, sebanyak lima Highflyers berkenaan telah menerima sijil, plak dan wang dalam bentuk 'mock cheque' iaitu Green Brunei adalah Highflyer pertama menerima wang tunai sebanyak BND1,500, Highflyers kedua ialah Young Professional Network dengan menerima wang tunai sebanyak BND1,250, Sukarelawan Belia COVID-19 merupakan Highflyers ketiga yang menerima wang tunai BND1,000, tempat keempat Highflyers Majlis Belia Brunei yang menerima wang tunai BND750 dan tempat kelima Highflyers menerima wang tunai sebanyak BND500 ialah Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar.

Selesai acara perasmian, Yang Berhormat dan rombongan diiringi untuk melawat Pameran Sukarelawan dan seterusnya melancarkan Kempen DOA dengan pelepasan Konvoi Vespa yang menghantar barang bantuan kepada orang-orang yang memerlukan di Kampung Katok dan Kampung Tungku.

Bagi memeriahkan lagi acara, pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan di sekitar kawasan Hub Belia, Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas seperti Pameran Sukarelawan, Aktiviti Perkhidmatan Gunting Sukarela, Aktiviti Canvas Kitani dengan Hashtag #ifeveryone did, Aktiviti Peduli Kucing, Pameran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) daripada Bank Baiduri dan lawatan ke ASEAN Volunteer Programme, aktiviti 'memperbisaikan' Taman Budiman iaitu menanam bunga dan mengecat pasu serta lain-lain aktiviti.

Di samping itu, Bengkel Aplikasi Mengalinga diadakan secara virtual serentak di antara keempat-empat daerah melalui Pusat-pusat Belia.

Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa ini bertujuan untuk menyediakan platform untuk mengumpulkan masyarakat Negara Brunei Darussalam dalam pembangunan semangat kesukarelawanan serta menjadi lambang perpaduan dan usaha di pelbagai peringkat masyarakat menuju ke arah perubahan melalui pendekatan bersama dan bekerjasama.

Objektif utama sambutan antara lain untuk mengadakan Kempen Hari Bertindak bagi mengumpul dan memantau program kesukarelawanan di samping mengadakan jerayawara untuk memberi kefahaman tentang konsep kesukarelawanan dan memberi penghargaan kepada sukarelawan dan organisasi yang aktif dalam kerja sukarela.

KKBS mengalu-alukan penyertaan para belia untuk mengikuti pelbagai aktiviti kesukarelawanan di empat-empat daerah. Bagi sebarang pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi talian +673 2381903 sambungan +673 1304 atau menghantar e-mel ke 'ivdbn.jbs@gmail.com' atau Instagram '@dayofaction.brunei'.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​​