Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat ke Acara Riadah Pagi
26/01/2024

hm_2601242.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi tadi berkenan berangkat ke Acara Riadah Pagi bersama Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam, yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan. 

Turut berangkat ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen. 

Juga hadir ialah ahli-ahli delegasi Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura. 

Terdahulu itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan ketibaan Tuan Yang Terutama Presiden Republik Singapura di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan. 

Seterusnya, kedua-dua pemimpin memulakan Acara Riadah Pagi dengan berjalan kaki di sekitar Taman Mahkota Jubli Emas, diikuti dengan penandatanganan sebuah plak dan penanaman pokok 'Ficus Burgundy' sempena Lawatan Negara Presiden Republik Singapura ke negara ini. 

Selesai Acara Riadah Pagi, Kebawah DYMM berkenan berangkat bersama TYT ke Tarindak d'Seni bagi menghadiri Majlis Santap Pagi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​​