Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Tegakkan perundangan, jaga kepentingan negara
01/02/2024

jpm_010224.jpg

Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang 2024 berlangsung di Bangunan Mahkamah Tinggi - Mahkamah Besar, Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, di sini. 

Acara tahunan ini mengumpulkan ahli-ahli Kehakiman dan profesi undang-undang bagi menandakan bermulanya tahun undang-undang mahkamah. 

Majlis dimulakan dengan Perbarisan Kawalan Kehormatan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei yang diperiksa oleh Ketua Hakim Mahkamah Besar, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon. 

Tradisi Pembukaan Tahun Undang-Undang menggariskan peranan utama Kehakiman dalam pentadbiran keadilan. 

la juga memfokuskan perhatian pada masyarakat undang-undang dengan ucapan yang disampaikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim, diikuti dengan ucapan dari Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan Presiden Law Society Brunei Darussalam, Dayang Nur 'Azizah binti Dato Seri Paduka Haji Ahmad, bagi mewakili peguam bela dan peguam cara di Negara Brunei Darussalam (NBD). 

Ketika berucap, Yang Berhormat Peguam Negara antara lain menjelaskan bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) terus dipandu oleh visi Kecemerlangan dalam Perkhidmatan Undang-Undang bagi menegakkan Peraturan Perundangan dan menjaga kepentingan negara ini. 

Yang Berhormat menambah, AGC memainkan peranan penting dalam mendukung kerajaan dengan usahanya untuk memastikan keamanan serta kestabilan dan juga sekuriti sosial bagi rakyat di negara ini. 

Selain memberi nasihat kepada kerajaan mengenai pelaksanaan undang-undang yang betul ujar Yang Berhormat, ia adalah penting untuk memastikan tadbir urus yang adil dan akauntabiliti untuk semua badan pentadbiran. 

"Menjadi kewajipan kepada kita untuk membimbing pihak berkuasa kawal selia dan agensi penguatkuasaan dengan tafsiran undang-undang yang betul, dan penerimaan tadbir urus yang baik selaras dengan undang-undang, peraturan dan dasar," tambah Yang Berhormat. 

Kewajipan dan kuasa sebagai penjaga Peraturan Undang-undang Yang Berhormat menekankan, telah dinyatakan dengan jelas dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Lawatan Tidak Berjadual baginda ke salah sebuah agensi penguatkuasaan pada tahun 2022 di mana dalam titah baginda antara lain membangkitkan : “… sekiranya betul berlaku jenayah, maka pada ketika itu, memang menjadi hak dan kewajipan bagi pihak berkuasa untuk menangani dengan undang-undang untuk memutuskan salah atau tidak". 

Sementara itu, Yang Di-Pertua Persatuan Undang-Undang dalam ucapannya antara lain mengetengahkan mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi profesi perundangan termasuk integriti profesi berkenaan. 

Beliau berkata, kebolehan untuk menimbulkan isu mengenai kelakuan dan standard seorang peguam merupakan sebahagian daripada ekosistem yang sihat. 

Walau bagaimanapun, contoh salah laku atau kekurangan etika, jika tidak ditangani dapat menjejaskan kepercayaan orang awam ke atas sistem perundangan. 

Majlis Pembukaan Tahun Undang-Undang telah dihadiri oleh Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos. 

Majlis juga dihadiri Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie', duta-duta luar negeri dan suruhanjaya-suruhanjaya tinggi, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai kehakiman dari Mahkamah Sivil dan Syariah, Pejabat Peguam Negara, Persatuan Undang-Undang serta pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi penguatkuasa kerajaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​​