Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
54 Pegawai Kadet Pengambilan Ke-22 ditauliahkan
01/02/2024

hm_0102241.jpg

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat ke Upacara Sovereign's Parade bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan Ke-22, Sekolah Pegawai Kadet yang berlangsung di Padang Kawad Akademi Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (AP ABDB), di sini.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

Sejurus itu, Kebawah DYMM berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan seterusnya memeriksa Pasukan Perbarisan yang terdiri daripada Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan Ke-22, Sekolah Pegawai Kadet di bawah perintah Pegawai Perbarisan, 1211 Kapten Umar Abdul Aziz bin Haji Yahya.

Ini disusuli dengan acara perbarisan berjalan lalu oleh para Pegawai Kadet.

Kebawah DYMM kemudian berkenan mengurniakan titah dan seterusnya mengurniakan anugerah-anugerah bagi para Pegawai Kadet Terbaik Pengambilan Ke-22, iaitu Anugerah Pedang Kehormatan (Sword of Honour); Anugerah Terbaik Akademik; Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera; Anugerah Terbaik Ketahanan Jasmani; dan Anugerah Terbaik Pegawai Kadet Antarabangsa.

Penganugerahan didahului dengan Anugerah Pedang Kehormatan kepada Pegawai Kadet Dayangku Noor Umiatul Afiqah binti Pengiran Zainal Abidin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains dalam Biodiversiti dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Anugerah Pedang Kehormatan berkenaan merupakan anugerah penghormatan tertinggi yang dikurniakan oleh baginda kepada Pegawai Kadet, dan ia merupakan simbol kecemerlangan terbaik secara keseluruhan bagi Pegawai Kadet yang mempunyai pencapaian tertinggi dalam latihan asas ketenteraan, akademik, fizikal dan dalam semua aspek kepimpinan.

Kebawah DYMM seterusnya mengurniakan Anugerah Terbaik Akademik kepada Pegawai Kadet Haziq Zharfan bin Haji Awang Hasbollah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengajian Komputer dari University College London, United Kingdom.

Beliau dikurniakan anugerah berkenaan berdasarkan kepada keputusan keseluruhan akademik terbaik di sepanjang latihan dijalankan.

Manakala, Anugerah Terbaik Kemahiran Tentera pula dikurniakan kepada Pegawai Kadet Murfiqah binti Muhammad yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Geografi Alam Sekitar dan Pembangunan dari UBD.

Pengurniaan anugerah berkenaan adalah berdasarkan kepada kejayaan beliau mendapat keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran kemahiran tentera.

Sementara Pegawai Kadet Awangku Muhd. Syahiiruddin bin Pengiran Haji Tengah yang berkelulusan BTEC Level 5 Higher National Diploma dalam Sistem Komputer dari Micronet International College, Negara Brunei Darussalam pula menerima Anugerah Terbaik Ketahanan Jasmani, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang Pegawai Kadet berkenaan dalam latihan jasmani.

Anugerah Terbaik Pegawai Kadet Antarabangsa pula dikurniakan kepada Pegawai Kadet Muhammad Akid bin Ayub dari Republik Singapura, yang memiliki Diploma Sains Farmasi dari Republic Polytechnic di Republik Singapura.

Anugerah Pegawai Kadet Antarabangsa merupakan anugerah yang julung kalinya diperkenalkan oleh Sekolah Pegawai Kadet AP ABDB bagi menghargai serta memberi pengiktirafan kepada Pegawai Kadet antarabangsa yang berjaya mencapai prestasi terbaik daripada semua segi latihan secara keseluruhan serta sumbangan Pegawai Kadet berkenaan di sepanjang menjalani latihan Kursus Pentauliahan.

Ia juga sekali gus mencerminkan peningkatan positif dalam kemajuan yang dicapai oleh Sekolah Pegawai Kadet khususnya dan AP ABDB amnya yang mulai menerima kemasukan para Pegawai Kadet dari negara-negara jiran bagi mengikuti Kursus Pegawai Kadet di Sekolah Pegawai Kadet.

Selesai pengurniaan anugerah-anugerah berkenaan, sembah 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' dilaungkan sebanyak tiga kali oleh pasukan perbarisan, diikuti dengan bacaan doa dipimpin oleh Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

Kebawah DYMM serta kerabat diraja kemudiannya dijunjung berangkat ke Dewan Istiadat AP ABDB bagi Majlis Junjung Ziarah.

Pada majlis berkenaan, Kebawah DYMM juga menerima pesambah yang dinamakan 'Al-Iastimraria' daripada para Pegawai Kadet yang baharu ditauliahkan.

Pesambah berkenaan melambangkan perjalanan berterusan Pegawai Kadet Pengambilan Ke-22, beralih daripada peringkat awam ke pegawai ditauliahkan dan akhirnya ke peringkat perkhidmatan, menekankan kepada perpaduan mereka dalam mengatasi cabaran kursus.

Tiga batang tiang yang berwarna merah, biru tua, dan biru muda melambangkan organisasi dan ketiga-tiga unit ABDB, iaitu merah melambangkan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB); biru tua melambangkan TLDB; dan biru muda melambangkan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

Kelasak yang disimpan di tengah-tengah ialah salah satu Alat Kebesaran Diraja Brunei yang digunakan sebagai perisai dan Kelasak adalah simbol tanggungjawab yang diamanahkan kepada seorang pegawai tentera dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Gear besar melambangkan kesepaduan Sekolah Pegawai Kadet dan juga ABDB manakala Gear kecil melambangkan Pegawai Kadet Pengambilan Ke-22 yang berada di bahagian bawah rantaian perintah dan setiap pusingan antara pertemuan gigi gear melambangkan tenaga pengajar dan pegawai yang membentuk serta mengajar para Pegawai Kadet semasa dalam latihan.

Selain itu, gear besar juga melambangkan nilai-nilai teras Sekolah Pegawai Kadet, iaitu setia; takwa; dan berani yang disemai dalam diri setiap Pegawai Kadet.

Pada acara berkenaan, para Pegawai Kadet juga menyembahkan 'Buku Perjalanan' yang mendokumentasikan latihan selama 52 minggu yang mereka lalui.

Kebawah DYMM kemudiannya berkenan menerima junjung ziarah daripada para Pegawai Kadet yang baharu ditauliahkan serta keluarga masing-masing.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, baginda juga berkenan menandatangani lembaran kenangan keberangkatan dan dijunjung bagi sesi bergambar ramai.

Seramai 54 Pegawai Kadet, iaitu 34 lelaki; dan 20 wanita ditauliahkan. Daripada jumlah berkenaan, seramai 29 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai pegawai TDDB, 12 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai pegawai TLDB, 11 Pegawai Kadet ditauliahkan sebagai pegawai TUDB.

Manakala dua orang lagi adalah merupakan Pegawai Kadet antarabangsa dari Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

Pengambilan pada tahun ini merupakan satu lagi pencapaian yang penting bagi Sekolah Pegawai Kadet AP ABDB khususnya dan AP ABDB amnya apabila menerima dan berjaya melatih para pegawai kadet antarabangsa.

Satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan dan memperluaskan hubungan diplomasi pertahanan antara negara-negara sahabat dan pengiktirafan sebagai institusi latihan dan pusat kecemerlangan yang melahirkan para pegawai tentera yang berkualiti tinggi.

Upacara Sovereign's Parade adalah kemuncak latihan ketenteraan intensif Sekolah Pegawai Kadet ABDB bertujuan bagi melengkapkan para pegawai yang baharu ditauliahkan dengan ilmu pengetahuan, disiplin, profesionalisme dan kemahiran kepimpinan. 

Latihan Pegawai Kadet pengambilan Ke-22 selama 52 minggu berkenaan bermula pada 13 Februari 2023, yang melibatkan pelbagai latihan dan aktiviti ketenteraan termasuk latihan Urban Operation Training Package (UOTP) selama tiga minggu yang dikendalikan oleh Officer Cadet School of the Singapore Armed Forces Training Institute (SAFTI MI), Republik Singapura khusus bagi meningkatkan kualiti kepimpinan, perwatakan dan intelek sepertimana yang dikehendaki bagi setiap pegawai ABDB.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​​