Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berangkat ziarahi jenazah Allahyarham Yang Berhormat Pehin Datu Imam
02/02/2024
hm_020224.jpg 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menziarahi jenazah Allahyarham Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal, di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, di sini. 

Berangkat sama ialah paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri. 

Allahyarham Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, jam 5.22 pagi, ketika berusia 84 tahun. 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama menunaikan Sembahyang Jenazah yang diimamkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned. 

Allahyarham dilahirkan di Kampung Tanjong Nangka, Batu 11, Jalan Tutong, Negara Brunei Darussalam pada 1939. 

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sengkurong Brunei, kemudian melanjutkan pengajian ke Madrasah Al-Junied Al-Islamiah, Singapura dan seterusnya ke Kolej Islam Malaya, Klang, Selangor.
 

Allahyarham seterusnya menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dan memperoleh Ijazah Sarjana (M.A) pada 1966. 

Allahyarham mula berkhidmat dengan kerajaan pada 24 Disember 1966 sebagai Pegawai Penguasa Penerangan dan Tabligh di Jabatan Hal Ehwal Ugama, dan kemudian dilantik menjadi Penguasa Pelajaran.  

Selepas itu, Allahyarham dinaikkan jawatan sebagai Timbalan Kadi Besar dan seterusnya menjadi Pegawai Ugama Kanan.  

Pada 1977, Allahyarham dilantik menjadi Kadi Besar sehingga bersara pada penghujung 1994. 

Allahyarham kemudiannya dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada  1 Januari 1995 sehingga 25 Mac 2001 dan kemudian dilantik menjadi Ketua Hakim Syar'ie mulai 26 Mac 2001 sehingga tamat perkhidmatan pada 19 Mac 2008.  

Semasa hayatnya, Allahyarham telah berkhidmat selama lebih 40 tahun dan lebih dari 26 tahun daripadanya berkhidmat dalam bidang Kehakiman Syariah. 

Allahyarham merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Ahli Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja dan Ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam Brunei, selain pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara (Kalangan Orang-orang Bergelar) dan Ahli Majlis Mesyuarat Adat Istiadat. 

Atas titah perkenan Kebawah DYMM, Allahyarham telah disampiri gelaran Manteri Ugama di Bawah Manteri Lapan, iaitu 'Yang Dimuliakan Pehin Datu Imam' pada 25 April 1974. 

Selain itu, Allahyarham juga turut dikurniakan dengan beberapa Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan, antaranya Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Pertama (Dato Paduka Seri Setia); Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Kedua (Dato Setia); Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Ketiga; Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat; Pingat Hassanal Bolkiah Sultan; Pingat Bakti Laila Ikhlas; Pingat Kerja Lama; Pingat Pengisytiharan Kemerdekaan; dan Pingat Jubli Perak (Emas). 

Allahyarham juga pernah dianugerahkan Tokoh Ugama / Jasawan Ugama 1429 Hijrah pada 11 Januari 2008 sempena Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1429 di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong. 

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sadur, Kampung Tanjung Nangka.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​​​​​