Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pertingkatkan usaha perangi pengganasan peringkat antarabangsa
04/02/2024

mjpm_040224.jpg

Mesyuarat Islamic Military Counter Terrorism Coalition (IMCTC) Defense Ministers Council Kali Kedua telah diadakan pada 3 Februari 2024 di Riyadh, Arab Saudi dan telah dirasmikan juga dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, Menteri Pertahanan Kerajaan Arab Saudi. 

IMCTC merupakan inisiatif yang ditubuhkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada tahun 2015. 

Mesyuarat Pertama IMCTC Defense Ministers Council telah diadakan pada November 2017 di Riyadh, Arab Saudi bertujuan untuk membincangkan dan meningkatkan usaha dalam memerangi pengganasan di peringkat antarabangsa. 

Mesyuarat Kedua ini telah dihadiri oleh 42 buah negara-negara ahli dan tiga buah negara pemerhati. 

Mewakili Negara Brunei Darussalam dan selaku wakil kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof. 

Turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Riyadh, Arab Saudi, Puan Norhafizah binti Haji Mohd Sofian dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam dan Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Riyadh, Saudi Arabia. 

Mesyuarat Kedua IMCTC dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan dituruti dengan Sabda Ucapan dari Duli Yang Teramat Mulia Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud. 

Antara agenda mesyuarat yang telah dibincangkan termasuk strategi dan pencapaian utama IMCTC serta usaha dan inisiatif negara-negara anggota IMCTC bagi membanteras keganasan. 

Secara berasingan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II telah membuat Perjumpaan Dua Hala bersama Penolong Menteri Pertahanan Saudi bagi Hal Ehwal Eksekutif, Tuan Yang Terutama Dr Khaled bin Hussein Al-Biyari. 

Semasa Perjumpaan Dua Hala tersebut Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyatakan ucapan menjunjung kasih dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di atas jemputan Duli Yang Teramat Mulia Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi menghadiri mesyuarat tersebut dan seterusnya menyatakan ucapan tahniah ke hadapan majlis Duli Yang Teramat Mulia di atas kejayaan pengendalian mesyuarat IMCTC. 

Di samping itu, kedua-dua belah pihak juga berbincang mengenai isu-isu cabaran keganasan di peringkat serantau dan global. 

Pada akhirnya, kedua belah pihak juga mengesahkan komitmen yang kuat ke arah memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kerjasama pertahanan dan ketenteraan di antara Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Arab Saudi. 

Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan IMCTC kali Kedua ini diadakan sebelum berlangsungnya Pameran World Defense Show Edisi Kedua pada 4 hingga 8 Februari 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan, Kerajaan Arab Saudi.

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan​