Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Khatam Al-Quran 40 Kali turut bersemarak di Permata Hijau
26/02/2024

tmjpm_270224.jpg

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024 secara serentak di kesemua daerah, hari ini.

Majlis ini melibatkan lebih 1,650 peserta di keempat-empat daerah yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, penuntut-penuntut Institusi Pendidikan Teknik Brunei (IBTE), penuntut-penuntut sekolah menengah, sekolah ugama, ahli-ahli persatuan belia dan sukan serta pergerakan-pergerakan belia, pelatih Pusat Pembangunan Belia, peserta Program Belia Cinta Tanah Air, sukarelawan-sukarelawan, belia-belia masjid, qari dan qariah.

Bagi Daerah Temburong, majlis tersebut diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, di sini. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Utama Mohammad Salleh, Haji Awang Safrillah bin Haji Ahmad, diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad yang diketuai oleh penuntut Sekolah Arab Temburong, Awang Muhammad Muizzuddin bin Mohammad Jamalludin dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran diketuai oleh Imam Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar, Awang Norezam bin Zaini.

Doa Khatam pula dibacakan oleh Belia Permata Hijau, Awang Muhammad Iffat Imani bin Husaini dan seterusnya Dikir Marhaban diketuai oleh Imam Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Utama Mohammad Salleh Pekan Bangar.

Majlis ini diadakan adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024 dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Secara tidak langsung majlis seumpama ini juga dihasratkan dapat mempertingkatkan dan mengukuhkan persefahaman serta kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia dan masyarakat khususnya sebagai usaha ke arah menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto