Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali
26/02/2024

dpmm_270224.jpg

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024 di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40 dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Masjid, Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran mulai dari Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad dikepalai oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Awang Abdul Hadi Muaiyyad bin Haji Azrol dan diteruskan dengan bacaan Takhtim Al-Quran yang dikepalai oleh mahasiswa-mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

Sementara Doa Khatam pula dibacakan oleh penuntut ITQSHHB, Awang Muhammad Darul Irsyad bin Mohammed Jeffery dan diikuti dengan Dikir Marhaban oleh mahasiswa-mahasiswa UNISSA. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Majlis Khatam Al-Quran 40 Kali sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Tahun 2024 serentak di keempat-empat daerah adalah merupakan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Bagi Daerah Belait, majlis seumpamanya diadakan di Masjid Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan. Manakala di Daerah Tutong pula, majlis telah diadakan di Masjid RPN Bukit Beruang. Sementara di Daerah Temburong bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Majlis ini melibatkan lebih 1,650 peserta di keempat-empat daerah yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi, penuntut-penuntut Institusi Pendidikan Teknik Brunei (IBTE), penuntut-penuntut sekolah menengah, sekolah ugama, ahli-ahli persatuan belia dan sukan serta pergerakan-pergerakan belia, Pelatih Pusat Pembangunan Belia, sukarelawan-sukarelawan, belia-belia masjid serta qari dan qariah.

Majlis diadakan dengan tujuan untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, dengan pengisian-pengisian yang bermanfaat terutama dengan pembacaan Al-Quran selaras dengan hasrat negara untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Seterusnya, ia secara tidak langsung akan dapat mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi persefahaman serta kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat dalam pembangunan dan tarbiah belia serta masyarakat ke arah menggalakkan penglibatan belia dan masyarakat dalam aktiviti keagamaan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto