Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pengurniaan memperlihatkan keprihatinan Kebawah DYMM
27/03/2024
dpmm_270324.jpg 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini sekali lagi telah berkenan mengurniakan kurnia peribadi baginda kepada seramai 18,010 penerima di seluruh negara dari golongan-golongan tertentu terdiri daripada Orang-orang Berkeperluan Khas, anak-anak yatim, orang fakir miskin, dan penerima bantuan kebajikan bulanan sempena Hari Raya Aidilfitri 1445 Hijrah/2024 Masihi. 

Majlis Penyampaian Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Kepada Golongan Tertentu sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1445 Hijrah / 2024 adalah merupakan kali ke-15 ia diadakan yang bertujuan untuk membantu meringankan bebanan golongan-golongan yang tertentu di negara ini. 

Pengagihan kurnia peribadi pada kali ini dimulakan dengan pengagihan kurnia peribadi oleh paduka-paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia selaku wakil-wakil peribadi baginda di  keempat-empat daerah dengan diikuti pengurniaan secara serentak di beberapa pusat pengagihan yang telah ditetapkan.  

Berangkat bagi memulakan pengurniaan kurnia peribadi sebagai wakil peribadi Kebawah DYMM bagi Daerah Brunei dan Muara di Istana Nurul Iman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri. 

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Dewan Resepsi dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar​.  

Di majlis berkenaan, DYTM berkenan menyampaikan kurnia peribadi Kebawah DYMM kepada seramai 1,000 penerima bagi Daerah Brunei dan Muara. 

Pengurniaan kurnia peribadi Kebawah DYMM oleh paduka-paduka anakanda baginda di keempat-empat daerah pada hari ini menandakan bermulanya secara serentak pengagihan kurnia-kurnia peribadi Kebawah DYMM melalui pusat-pusat pengagihan yang telah ditetapkan, iaitu Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas dan Dewan BRIDEX, Jerudong bagi Daerah Brunei dan Muara; Dewan Pusat Insani Seria bagi Daerah Belait; Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong bagi Daerah Tutong; dan Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar bagi Daerah Temburong. 

Pengurniaan yang bermula pada hari ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kebawah DYMM yang berterusan terhadap memeduli hal ehwal golongan-golongan tertentu di negara ini agar mereka tidak tersisih daripada mendapat perhatian baginda dalam suasana negara tidak lama lagi akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​