Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dalam sembah alu-aluannya berkata bahawa tema sambutan tahun ini iaitu 'Al-Quran Pedomanku', jelas maksudnya memperakukan bahawa Al-Quran selain menjadi bacaan sebagai kitab suci ialah untuk juga menjadi pedoman.
“Kerana itu Al-Quran perlu dipelajari. Dari membacanya dengan lancar yang sebahagian ayat-ayat dari sebahagian surah-surahnya atau kesemuanya genap 30 Juzuk jika mampu dihafal maka hafalkanlah. Kesemua itu sudah boleh mendapatkan pahala. Namun yang utama ialah mengetahui makna dan memahami ayat- ayatnya untuk memetik pengajaran daripadanya.
“Dengan cara dan jalan itulah akan tercapai maksud berpedomankan Al-Quran yang memang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagai 'hudaa' yakni petunjuk-petunjuk yang disebut sebagai hidayat bagi hamba-hamba-Nya yang berstatus al-Muttaqin teguh beriman sehingga dengan berpedomankan Al-Quran itu mereka mendapat pengajaran yang dijadikan pegangan melaksanakan perintah-perintah Allah dan menghindari daripada larangan atau tegahan-tegahan Allah," ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa di negara ini, Al-Quran itu dipelajari dan diajarkan secara tradisi dalam masyarakat sampailah secara pembelajaran formal menerusi persekolahan. Diikuti juga dengan pengajian menghafalnya sampai ke peringkat diploma tertinggi.
Sementara untuk menyebarkan pengetahuan dan pemahaman isi kandungan ayat-ayat Al-Quran disembahkan bahawa usaha-usaha berterusan adalah dirancang dan dilaksanakan melalui penerbitan Kitab Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya yang diikuti dengan penerbitan bersiri atau berjuzuk kitab huraian tafsirnya.
“Usaha yang juga sangat dititikberatkan ialah siaran radio dan televisyen dan juga acara-acara majlis keilmuan yang bertujuan memberikan huraian atau 'tadabbur' yakni memetik pengajaran daripada ayat-ayat Al-Quran.
“Usaha ini dan usaha-usaha lain termasuk menerusi kursus bidang yang berkenaan di pusat-pusat pengajian tinggi adalah sangat penting untuk turut lebih aktif dan tersusun serta terarah bagi pengajian ilmu-ilmu tentang kitab Al-Quran terutama mempelajari dan memahaminya secara kontekstual kehidupan individu, bermasyarakat dan seterusnya bernegara khasnya bagi kita di Negara Brunei Darussalam negara yang bertuah diberkati Allah yang dalam konteks kemerdekaannya ia dimasyhurkan dengan azam mengekalkannya sebagai negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah," terang Yang Berhormat menyembahkan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga berkenan mengurniakan titah pada majlis tersebut.
Kemudian majlis diteruskan dengan pemakluman keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Urusan Haji, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, selaku Pengerusi Jemaah Hakim.
Majlis diserikan dengan Persembahan Pemenang Terbaik dari setiap kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah. Sejurus selepas itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah dan cenderamata kepada para peserta.
Bagi memohon berkat dan syafaat pada majlis yang berkebajikan ini, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. Sebelum berangkat balik, Kebawah DYMM berserta paduka-paduka anakanda dan adinda baginda berkenan beramah mesra bersama para pemenang Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan dan Peringkat Negara Anggota MABIMS Tahun 1445 Hijrah serta ahli-ahli keluarga mereka.
Tema bagi Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah ialah 'Al-Quran Pedomanku'. Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara pada tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto