Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Sumbangan derma ringankan beban anak yatim menjelang Aidilfitri
31/03/2024
tmjpm_310324.jpg 

Seramai 117 anak-anak yatim menerima sumbangan derma pada Majlis Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim Bagi Kampung Sengkurong 'A', Kampung Sengkurong 'B', Kampung Tagap, Kampung Selayun dan Kampung Tanjung Nangka bagi Tahun 1445H/2024M bertempat di Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim tersebut ialah Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos. 

Pada majlis tersebut, hamper-hamper turut disampaikan oleh penyumbang perseorangan daripada Pengarah Urusan Gunung Jati bersama Anak-Anak Syarikat, Awang Haji Yussof bin Haji Metussin dan isteri; dan Club Nissan Terra Brunei, serta sumbangan peribadi yang disampaikan oleh Dayang Nasirah binti Abdullah, wakil peribadi Nazmi Textile. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Haji Awang Manan bin Haji Osman, dan disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Imam Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Haji Awang Mohd Zaidin bin Haji Awang selaku Pengerusi Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong. 

Majlis juga diteruskan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Bilal Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, Mohammad Nurkhairi bin Haji Abd Mustafa, manakala bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan dibacakan oleh Haji Awang Manan. 

Acara tersebut merupakan salah satu acara tahunan yang termasuk dalam kalender Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong yang dianjurkan setiap tahun di dalam bulan Ramadan, dan dikelolakan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong, jemaah Muslimah Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong dan Belia Syaababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong. 

Tujuan acara tersebut diadakan ialah untuk memberikan ukiran senyuman kepada anak-anak yatim dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tidak lama lagi akan menjelang. 

Sumbangan derma ini juga boleh diguna pakai bagi tujuan perbelanjaan dan kegunaan persekolahan serta lain-lain dengan sebaiknya. 

Sumbangan derma anak yatim pada hari ini adalah hasil terkumpul daripada sumbangan orang ramai melalui Tabung Khas Anak Yatim yang dibukakan oleh Masjid Sultan Sharif Ali Sengkurong yang telah mendapat kebenaran daripada Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam. Sumbangan pada hari ini juga diperolehi daripada persatuan-persatuan dan orang-orang perseorangan. 

Turut hadir, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pegawai-pegawai Hal Ehwal Masjid, Penghulu Mukim Sengkurong, Pemangku Ketua Kampung Sengkurong 'B', Pemangku Ketua Kampung Tagap dan Selayun, Pemangku Ketua Kampung Tanjung Nangka, Pegawai-pegawai daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Masjid.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​