Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
JPM anjur Majlis Penyampaian Sumbangan Derma, Sambutan Nuzul Al-Quran
01/04/2024
jpm_010424.jpg 

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini mengadakan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma sempena Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Nuzul Al-Quran bagi tahun 1445 Hijrah bertempat di Dewan Bankuet, Bangunan JPM. 

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash Shaliheen, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran. 

Majlis diteruskan dengan Sesi Forum Khas yang bertajuk 'Al-Quran Pedomanku' yang disampaikan oleh dua ahli panel, iaitu Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Awang Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar; dan  Penolong Kanan Profesor, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Awang Haji Harapandi bin Dahri; manakala Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Mohammad Jaya bin Haji Metussin selaku Moderator. 

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, iaitu Surah Al-An'am, ayat 83 hingga 92 oleh Awang Ahmad Darwish bin Hamdan, pelajar Tahun 11, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan diikuti dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai. 

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma sempena Hari Raya Aidilfitri yang disempurnakan oleh tetamu-tetamu kehormat majlis kepada 42 warga JPM dan Jabatan-jabatan di bawahnya dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat. 

Pada tahun ini, dua majlis diadakan secara serentak, iaitu Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran bagi memperingati kelebihan dalam menerapkan pembacaan Al-Quran dalam kehidupan seharian sebagai penunjuk jalan yang betul dalam meraih keberkatan, perlindungan dan rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala. 

Manakala, Majlis Penyampaian Sumbangan Derma sempena Hari Raya Aidilfitri diharapkan akan dapat membantu meringankan beban kewangan para penerima dan memberikan keceriaan dalam sama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​