Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Khatam Al-Quran, penyampaian derma semarak Ramadan
05/04/2024

mjpm_050424.jpg

Majlis Bertadarus setiap malam pada bulan Ramadan 1445 Hijrah Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas sampai ke kemuncaknya dengan Majlis Khatam Al-Quran yang juga diselajurkan dengan penyampaian derma anak-anak yatim khas untuk Kampung Kilanas.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Masjid Kampung Kilanas itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Penaung I Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dikepalai oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan diteruskan dengan Majlis Khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Kilanas, Awang Muhd. Fahmie bin Haji Awang Metussin. Majlis diteruskan dengan bacaan Tahlil, Doa Khatam dan Doa Tahlil yang dipimpin oleh Bilal, Awang Haji Mohammad Amir Mu'min bin Haji Noor Hisham.

Acara diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada peserta-peserta Khatam Al-Quran bagi wakil-wakil bahagian dan penyampaian derma anak-anak yatim bagi Kampung Kilanas yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Sumbangan derma berupa wang tunai tersebut merupakan hasil daripada Tabung Derma Khas Anak-anak Yatim bagi Kampung Kilanas dari Masjid Kampung Kilanas dan sumbangan penduduk-penduduk Kampung Kilanas, bertujuan untuk memberi bantuan kepada anak-anak yatim bagi membantu untuk meringankan perbelanjaan mereka bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Mohd Redzuan bin Haji Marzuki manakala bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Muhd. Fahmie. Majlis diakhiri dengan berbuka puasa dan seterusnya menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah.

Turut hadir pada majlis ini adalah Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas dan para jemputan khas, anak-anak yatim dan penjaga mereka serta jemaah masjid, penduduk-penduduk Kampung Kilanas dan sekitarnya.

Acara ini adalah merupakan aktiviti tahunan anjuran Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid, yang dihasrat untuk memberi peluang bagi Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir, jemaah-jemaah masjid serta penduduk-penduduk Kampung Kilanas dan sekitarnya untuk sama-sama mendekatkan diri dengan Al-Quran serta membaca Al-Quran secara berkumpulan di mana pada tahun ini ia terbahagi kepada lima bahagian iaitu dewasa lelaki dengan warga emas, dewasa lelaki dan belia, dewasa wanita, belia masjid dan beliawanis masjid.

Melalui aktiviti ini secara tidak secara langsung ia dapat mengeratkan serta memupuk hubungan silaturahim dan persaudaraan dalam kalangan peserta dalam pembacaan Al-Quran setiap malam pada bulan Ramadan Al-Mubarak.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​