Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Perbadanan TAIB semarakkan bulan Ramadan
05/04/2024

mjpm_0504241.jpg

Sempena memperingati bulan Ramadan, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd., Darussalam Holdings Sdn. Bhd. dan TAIB Filling Station Sendirian Berhad petang tadi mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran dan Penyerahan Sumbangan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim (DANA) yang berlangsung di Masjid Kampong Penabai, Tutong, di sini. 

Hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB. 

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Syuwari bin Ilham dan Tadarus Al-Quran yang dipimpin oleh Bilal Masjid Kampung Penabai, Awang Mohamad Danial Syazwi bin Awang Nawi. 

Acara diteruskan dengan penyerahan sumbangan kepada 13 anak yatim dalam kalangan keluarga warga kerja Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya dan 16 anak yatim dari Kawasan Kampung Penabai yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II. 

Seterusnya ialah penyampaian sumbangan derma kepada DANA sebanyak BND100,000 dari Perbadanan TAIB dan BND10,000 masing-masing disumbangkan oleh Insurans Islam TAIB Family Takaful Sdn. Bhd., Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd. 

Sumbangan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB dan diterima oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Hj Abdul Razak selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.  

Majlis berkenaan merupakan salah satu aktiviti keagamaan tahunan yang diadakan oleh pihak Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya dalam sama-sama menyemarakkan lagi bulan suci Ramadhan dan juga untuk mengeratkan hubungan di antara pegawai-pegawai dan kakitangan serta penduduk kampung sekitarnya. 

Juga hadir, Penolong Mufti (Ifta), Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Dennie bin Haji Abdullah selaku Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB; serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Ahli-ahli Jawatankuasa Penasihat Syariah Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, tetamu jemputan, Penghulu Mukim Pekan Tutong, Ketua Kampung Penabai dan Kampung Sengkarai, pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya serta penduduk kampung sekitarnya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​