Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
BKISHHB adakan Majlis Khatam Al-Quran
06/04/2024

mjpm_0604241.jpg

Majlis-majlis keagamaan khususnya Majlis Khatam Al-Quran terus dipergiatkan lagi di bulan suci ini lebih-lebih lagi memasuki 10 malam terakhir Ramadan. 

Dalam merebut ganjaran pahala dan keberkatan pada bulan yang mulia ini, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) lewat petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Tahun 1445H bersamaan 2024M, bertempat di Dewan Auditorium BKISHHB. 

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Pengerusi Lembaga Penasihat BKISHHB. 

Hadir sama ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad; Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB. 

Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh tetamu kehormat, diikuti dengan bacaan Surah Adh-Dhuha hingga Surah An-Nas beramai-ramai. 

Sementara itu, Doa Khatam dibacakan oleh Imam Tingkat I, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhd Arif bin Haji Johari. 

Majlis turut diimarahkan lagi dengan laungan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai sebanyak tiga kali sebelum ditutup dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Awang Muhd Arif. 

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut menyempurnakan penyampaian derma kepada empat orang anak yatim terdiri dari anak-anak kakitangan jabatan. 

Para jemputan kemudiannya dijemput untuk berbuka puasa dan seterusnya beredar ke Surau BKISHHB untuk menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Muhd Arif. 

Tahun ini adalah kali kedua BKISHHB mengadakan Majlis Iftar bersama Ahli-ahli Lembaga Penasihat BKISHHB di samping Majlis Khatam Al-Quran tahunan pada bulan Ramadan, bertujuan untuk menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mubarak di samping mendapatkan ganjaran pahala serta keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​