Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Majlis Bertahlil sempena Penubuhan Jabatan Penerangan
11/05/2024

tmjpm_110524.jpg

Jabatan Penerangan dalam menyemarakkan bersempena Sambutan Memperingati Penubuhannya Ke-72 tahun dengan mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, petang tadi.

Majlis keagamaan berkenaan khusus bagi ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.

Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Turut hadir, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM serta para Pengamal dan Pegawai Perhubungan Awam daripada kementerian-kementerian dan para pegawai, kakitangan Jabatan Penerangan.

Majlis pada petang itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba, Awang Mohamad Adham bin Hashim.

Jabatan Penerangan dalam usahanya membudayakan masyarakat bermaklumat sejak ditubuhkan pada 1 April 1952 dan kini mencapai usia 72 tahun, jabatan berkenaan masih kekal relevan melaksanakan peranannya dalam membarigakan inisiatif-inisiatif semasa.

Dalam jangka masa itu, Jabatan Penerangan secara berterusan melaksanakan strategi kerjanya melalui liputan-liputan berita, program-program, bahan-bahan terbitan dan perkhidmatan-perkhidmatan media yang disediakan selaras dengan peredaran zaman.

Jabatan Penerangan terus memainkan peranan pentingnya iaitu khususnya dalam membarigakan maklumat, dasar, program dan aktiviti kerajaan yang sahih dan sebagai platform perantaraan di antara rakyat-kerajaan-rakyat.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​