Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Pastikan acara teratur, pupuk semangat cintakan agama, raja
15/05/2024

mjpm_150524.jpg

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah telah diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. 

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah. 

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji ldris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar. 

Dalam mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menggariskan, Negara Brunei Darussalam adalah negara yang mendukung dan menampilkan dirinya sebagai negara Islam dengan penduduknya yang komited kepada ajaran agama Islam, malah Negara Brunei Darussalam juga dikenali sebagai Negara Zikir yang di dalamnya ada perlembagaan, undang-undang serta adat-istiadatnya. 

Agenda mesyuarat adalah bagi membincangkan format dan tema sambutan, tarikh, tempat mengadakan majlis, pengisian atur cara serta perkara-perkara yang berhubung kait dengan Sambutan Majlis Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan sepanjang tahun 1446 Hijrah. 

Mesyuarat juga membincangkan Pengendali-pengendali Bersama setiap majlis. 

Adalah menjadi harapan pihak Jawatankuasa agar Sambutan Majlis Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan sepanjang tahun 1446 Hijrah dikendalikan dengan lebih teratur dan sempurna, dan sambutan diisi dengan acara bermanfaat yang boleh mengasuh serta memupuk semangat cintakan Allah, cintakan Rasul, cintakan agama dan raja dalam kalangan seluruh rakyat dan penduduk. 

Selain itu, ia dapat menambahkan lagi keimanan kepada umat Islam khususnya di Negara Brunei Darussalam.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​