Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Majlis Jiwa Murni raikan bakal jemaah haji
17/05/2024

mjpm_170524.jpg

Kementerian Pertahanan telah mengadakan Majlis Jiwa Murni iaitu majlis bagi penyampaian sumbangan untuk 55 bakal-bakal jemaah haji Kementerian Pertahanan bagi Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi yang terdiri daripada sembilan anggota tentera dalam perkhidmatan dan 30 pesara tentera, manakala sembilan kakitangan awam dalam perkhidmatan dan tujuh pesara awam, hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji lelaki yang berlangsung di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof manakala isteri Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili pula menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji perempuan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan isteri; Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; peringkat kepimpinan Kementerian Pertahanan dan ABDB bersama pasangan masing-masing serta pegawai-pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Majlis turut diisikan dengan penyampaian tazkirah bertajuk, 'Meraih Haji Yang Mabrur' yang disampaikan oleh Pegawai Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Muhammad Nasyith bin Superi.

Antara inti pati tazkirah yang telah disampaikan adalah untuk bagi bakal-bakal jemaah haji membuat persiapan dari segi kerohanian, kesihatan dan kewangan sambil menghindari sifat-sifat mazmumah yang dapat menjauhkan mereka daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Dengan itu, mereka boleh mengerjakan ibadah haji dengan hati yang suci dengan satu tujuan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan menjunjung sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, “Haji yang mabrur tiada ganjarannya yang sesuai melainkan syurga". (Hadis Riwayat Tabrani).

Majlis diakhiri dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan Doa Selamat bagi bakal jemaah haji bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar kesemua bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam dan khususnya di Kementerian Pertahanan mendapat perlindungan, keselamatan, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam keadaan sihat serta memperoleh haji yang mabrur. 

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto