Doa Selamat raikan bakal jemaah haji JPM

Doa Selamat raikan bakal jemaah haji JPM

Jabatan Perdana Menteri (JPM) petang tadi mengadakan Majlis Doa Selamat bagi meraikan seramai 32 bakal jemaah haji yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya yang akan menunaikan Fardu Haji bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, bertempat di Bangunan JPM, di sini.

Hadir selaku tetamu-tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

Acara diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji dari JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya oleh tetamu-tetamu kehormat.

Ia diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis untuk memohon keselamatan dalam perjalanan serta urusan menunaikan ibadah haji dipermudahkan bagi bakal-bakal jemaah haji dan mendapat haji yang mabrur.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di JPM serta pegawai-pegawai kanan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Awangku Adi Nazri, Dayangku Siti Ummi Syazana johan qari, qariah Musabaqah Membaca Al-Quran

Awangku Adi Nazri, Dayangku Siti Ummi Syazana johan qari, qariah Musabaqah Membaca Al-Quran

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.

Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M; dan Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.

Turut menjunjung keberangkatan baginda dan kerabat diraja ialah Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang lain.

Majlis dimulakan dengan Persembahan Bacaan Ayat Suci Al-Quran oleh Qari Jemputan dari Malaysia, Mohamad Husaini bin Mahmur, disusuli dengan dengan Sembah Alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah.

Majlis kemudian diteruskan dengan Pengumuman Keputusan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang disembahkan oleh Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jemaah Hakim, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.

Majlis diikuti dengan Persembahan Bacaan Al-Quran oleh Johan Qari dan Qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan cenderamata kepada johan qari, johan qariah serta peserta-peserta, dan qari jemputan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H/2026M.

Johan qari dinobatkan kepada Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dengan meraih markah 92.17 peratus.

Manakala naib johan ialah Pengiran Muhd. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki dengan markah 91.65 peratus, dan tempat ketiga dimenangi oleh Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili dengan markah 90.30 peratus.

Sementara itu, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki muncul sebagai johan qariah dengan memperoleh markah sebanyak 91.65 peratus.

Naib johan pula disandang oleh Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat yang meraih 89.50 peratus, manakala tempat ketiga disandang oleh Dayang Nurhaneyah binti Nordin dengan catatan 85.93 peratus.

Johan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah BND7,000 berserta Piala Pusingan, Hadiah Iringan dan Sijil Penyertaan.

Selain itu, johan turut menerima Pakej Menunaikan Fardu Haji bagi Peserta Pertama Kali menjadi Johan, Akaun Tekad Haji berjumlah BND5,000 sumbangan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya iaitu Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; satu dinar emas daripada Balurih Travel Sdn. Bhd.; dan sebidang kain tenunan Brunei sumbangan daripada Syarikat Little Ummi.

Naib johan pula menerima wang tunai sebanyak BND5,000, Hadiah Iringan dan Sijil Penyertaan, selain Akaun Tekad Haji berjumlah BND2,500 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; dan ½ dinar emas daripada Balurih Travel Sdn. Bhd.

Sementara itu, tempat ketiga menerima wang tunai BND3,000, Hadiah Iringan dan Sijil Penyertaan, juga Akaun Tekad Haji berjumlah BND1,500 sumbangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd. dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.; dan ¼ dinar emas daripada Balurih Travel Sdn. Bhd.

Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, JPM Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST).

Tema majlis pada tahun ini ialah ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya’.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap

Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa, Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Prak Sokhonn, petang tadi.

Tuan Yang Terutama Prak Sokhonn berada di Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-Kesatuan Eropah Ke-25 yang telah diadakan di Bandar Seri Begawan pada 27 hingga 28 April 2026 dan seterusnya akan mengadakan Lawatan Rasmi pada 29 hingga 30 April 2026 bagi membincangkan hubungan kerjasama dua hala di antara NBD dan Kemboja.

Menyertai Tuan Yang Terutama pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman ialah Secretary of State and Chief of the Cabinet of His Excellency Prak Sokhonn, Tuan Yang Terutama Ouk Sorphorn; Under Secretary of State, Tuan Yang Terutama Hun Saroeun; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Kemboja ke NBD, Tuan Yang Terutama Chey Ratha dan Deputy Director General, General Department of Asia-Pacific, Dr. Lay Chanrasmey.

Juga hadir semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Berangkat mengurniakan 693 penerima pingat kehormatan

Berangkat mengurniakan 693 penerima pingat kehormatan

Istiadat Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Tahun kali ini menyaksikan seramai 693 penerima pada istiadat yang berlangsung di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, hari ini.

Berangkat mengurniakan Pingat-pingat Kehormatan Negara, selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Juga berangkat, paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 437 penerima lelaki dan 256 perempuan menerima pingat pada hari yang pertama yang dimulakan dengan pengurniaan kepada 30 penerima bagi Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dari Kementerian Pertahanan dan swasta (sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan).

Manakala 600 warga Perkhidmatan Awam menerima bagi Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B) yang terdiri daripada 25 penerima dari Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia, 194 dari JPM, 187 dari Kementerian Pertahanan, 77 dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi, 14 dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, 35 dari Kementerian Hal Ehwal Ugama serta 53 dan 15 penerima masing-masing dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Pada kali ini juga pengurniaan kepada Kementerian Pertahanan menerusi 61 penerima bagi Pahlawan Periwara (P.P) iaitu 60 lelaki dan seorang perempuan dan Penglima Lasgar (P.L) dikurniakan kepada dua penerima lelaki juga dari kementerian yang sama.

Bagi memberkati Istiadat Pengurniaan Pingat tersebut, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Juga berangkat dan hadir, Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Pehin-Pehin Manteri, Manteri-manteri Pendalaman, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi, Duta-duta Besar, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung.

Pengurniaan pingat-pingat kehormatan negara ini diharap terus menyuntik semangat para penerima dan juga kepada yang lain untuk terus menabur bakti khidmat cemerlang kepada perkembangan mampan dan berintegriti demi membangun dan kemajuan terutama sekali bersama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035 nanti.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap

Kebawah DYMM berkenan menerima mengadap

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Wakil Tertinggi bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Kesatuan Eropah merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Puan Yang Terutama Kaja Kallas, yang mengadakan lawatan ke negara ini selama dua hari.

Ini merupakan lawatan Puan Yang Terutama buat julung kalinya ke Negara Brunei Darussalam (NBD) bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-Kesatuan Eropah (European Union – EU) Ke-25 yang dihoskan oleh Brunei selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-EU bagi tahun 2024 hingga 2027.

Mesyuarat tersebut akan membincangkan mengenai langkah-langkah bagi memajukan Perkongsian Strategik ASEAN-EU merentas sektor-sektor keutamaan, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama kepada kedua-dua pihak.

Brunei dan EU menjalin hubungan kerja yang rapat melalui beberapa platform pelbagai hala termasuk ASEAN Regional Forum dan Mesyuarat Asia-Eropah, yang mana kedua-dua pihak mempunyai kerjasama baik dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta keselamatan.

Menyertai PYT pada Majlis Mengadap tersebut ialah Duta Besar (Tidak Menetap) Kesatuan Eropah ke NBD, Tuan Yang Terutama Denis Chaibi; Member of Cabinet of the High Representative of the Union for Foreign Affairs and Security Policy and Vice-President of the European Commission, Michal Safianik; Managing Director for Asia and Pacific, European External Action Service, Erik Kurzweil; dan Pakar Komunikasi, European External Action Service, Romain Seignovert.

Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; dan Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos

Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Berangkat ke Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan

Berangkat ke Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Akhir Kebangsaan

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), di sini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/ 2026M yang lain.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Pada majlis musabaqah tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan Sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H / 2026M.

Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim.

Diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin yang antara lain menyembahkan tema musabaqah tahun ini mengungkapkan kata-kata seruan ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya’.

“Sesungguhnya ia ditujukan kepada kita supaya akan terus menerus berusaha melaksanakan pembelajaran Al-Quran untuk memastikan generasi negara akan tetap celik Al-Quran, sesuai dengan dasar pembelajarannya melalui pendidikan formal di sekolah-sekolah, selain di masjid-masjid, balai-balai ibadah dan bahkan di rumah-rumah yang diinisiatifkan oleh ibu bapa dan keluarga untuk anak cucu mereka bahkan untuk diri mereka.

“Begitu juga sudah semakin berkembang minat mengikuti pembelajaran Al-Quran di sekolah-sekolah yang ditubuhkan dengan inisiatif pihak-pihak swasta yang khusus menjadi pusat mempelajari Al-Quran bagi sebahagian orang muda dan dewasa, sama ada untuk pandai membaca dan supaya celik Al-Quran ataupun untuk anak-anak mereka yang sedia belajar di sekolah-sekolah supaya akan segera pandai membaca Al-Quran dengan lancar,” sembah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menyembahkan bahawa dalam masa yang sama, adalah sesuai pembelajaran Al-Quran disertakan dengan memberikan makna ayat-ayat Al-Quran yang dibaca dan diajarkan itu.

Ini boleh disesuaikan dengan peringkat-peringkat umur, sembah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat kemudiannya menyembahkan bahawa bahan untuk mengajar Al-Quran beserta memberikan makna ayat-ayat yang dipelajari sedemikian itu sudah tersedia iaitu Mushaf Brunei Darussalam dan Terjemahannya, terbitan Pusat Da’wah Islamiah (PDI).

Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan bacaan Al-Quran dari tiga orang peserta iaitu Awang Ahmad Naufal bin Haji Nor Asman, Dayang Nur Amal Atiqah @ Aida binti Haji Sudirman, dan Awang Mohammad Ayob bin Ali.

Majlis diteruskan dengan Persembahan Nasyid (Al-Quran Syafa’ah) sebagai lagu tema Musabaqah oleh penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sejurus itu, Musabaqah disambung dengan memperdengarkan bacaan Al-Quran dari tiga orang peserta iaitu Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat, Pengiran Muhd. Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki, dan Dayangku Alma Hazirah binti Pengiran Haji Jofri.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah kemudiannya berangkat meninggalkan majlis setelah selesai enam orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing di hari pertama musabaqah.

Musabaqah tersebut berlangsung selama tiga hari berturut-turut dan akan disambung lagi pada hari kedua, esok malam, 28 April 2026.

Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah musabaqah berkenaan ialah pada Rabu malam Khamis, 29 April 2026 di Dewan Plenary, ICC, Berakas, bermula pukul 7.15 malam.

Musabaqah tahun ini dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, JPM, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST).

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto