Berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran

Berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Berangkat sama ialah paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke majlis tersebut dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Brunei Darussalam Central Bank (BDCB); Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1447H.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447H dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.

Kemudian, majlis diteruskan dengan Sembah Alu-aluan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama yang antara lain menjelaskan, sesungguhnya memahami makna ayat-ayat Al-Quran sama ada melalui terjemahan prakata dan huraian tafsirnya adalah untuk mengambil pengajaran daripadanya sesuai dengan maksud dan tujuan Allah Subhanahu Wata’ala mewahyukannya kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam untuk jadi pedoman dan amalan yang seterusnya meresap ke dalam diri manusia menjadi penghayatan.

Tambah Yang Berhormat, kerana itulah usaha mempelajari Al-Quran sangat perlu untuk terus-menerus diperkukuhkan untuk menjadikannya tidak sahaja setakat bacaan dan hafalan bahkan hendaklah dengan pemahaman.

Antara usaha ke arah itu jelas Yang Berhormat, ialah dengan adanya kegiatan dan program-program men’tadabbur’ ayat-ayat Al-Quran.

Kegiatan men’tadabbur’ ini terang Yang Berhormat, akan diperkukuhkan sewajarnya, di samping memperkukuhkan usaha pembelajaran bacaan dan hafalan yang kita telah ada untuk dikembangkan.

Sejurus selepas itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan Pemakluman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali, selaku Pengerusi Jemaah Hakim.

Setelah itu, majlis diserikan dengan Persembahan Pemenang Terbaik dari setiap kategori Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1447H.

Sejurus itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah dan cenderamata kepada peserta.

Tema bagi Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1447H ialah ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Quran dan Menghayati Ajarannya’.

Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara pada tahun ini dikendalikan bersama oleh KHEU, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, dan BDCB.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

 

Sabda DPMM Di Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah

SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

DI MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1447 HIJRAH

DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

HARI JUMAAT MALAM SABTU,
17HB RAMADAN 1447 BERSAMAAN 6HB MAC 2026

Assalamu ’Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillah Hir Rahman Nir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapatlah kita berkumpul memperingati peristiwa Nuzul Al-Qur’an pada malam 17 Ramadhan yang penuh berkat ini. Tema sambutan pada tahun ini, ‘Mengukuhkan Pembelajaran Al-Qur’an dan Menghayati Ajarannya’, bertepatan dengan hasrat Negara untuk terus memperkasa jati diri umat Islam melalui kitab suci Al-Qur’an.

Tema ini merupakan kesinambungan daripada hasrat Paduka Ayahnda yang menekankan Al-Qur’an sebagai teras kehidupan. Sebagaimana Titah Paduka Ayahnda sempena Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Peringkat Akhir Kebangsaan lepas:

“Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran.”

Bagi memastikan ‘manual kehidupan’ ini benar-benar dihayati, Kerajaan sentiasa memperkasa inisiatif melalui pelbagai peringkat pendidikan agama kebangsaan termasuk pencapaian serantau khususnya dalam menerbitkan Tafsir ‘Ilmi Ayat-Ayat Kauniyyat menerusi kerjasama MABIMS. Usaha seumpamanya adalah bertujuan melahirkan generasi penerus yang mahir membaca dan membesar dalam lingkungan adab serta kecintaan kepada Kalamullah.

Oleh itu, sebagai usaha bersinambung memahami isi kandungan Al-Qur’an, kita dituntut untuk mendekatinya melalui tadabbur. Pendekatan ini selaras dengan tujuan penurunan Al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam Surah Shad ( ص ), ayat 29 yang bermaksud:

“(Al-Qur’an ini ialah) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) yang mengandungi berkat, supaya mereka memikirkan dengan teliti ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal dapat mengambil pengajaran.”

Amalan Tadabbur Al-Qur’an membawa kepada penghayatan tiga konsep utama: Tilawah (iaitu, pembacaan yang betul dan bertajwid), Ta’lim (mempelajari dan memahami isi kandungannya), dan Tazkiyah (pengamalan ajaran Al-Qur’an bagi membentuk akhlak mulia serta adab dalam hubungan sesama insan).

Namun, dalam meniti arus kemodenan termasuk kemajuan teknologi digital dan pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) kini merupakan suatu kenyataan merentasi kehidupan seharian.

Dalam hal ini, kita menjunjung tinggi Titah peringatan Paduka Ayahnda mengenainya pada Sambutan Ilal Hijrah baru-baru ini, khususnya cabaran teknologi AI yang semakin canggih sehingga boleh menyebabkan: “kesukaran kita untuk menilai dan membezakan yang mana realiti atau yang diada-adakan.”

Pada hemat saya, cabaran kepantasan maklumat dan pertembungannya menuntut kita untuk memiliki sikap yang lebih bijaksana dalam berusaha merungkai berbagai khazanah ilmu yang tersirat. Hal ini selaras dengan sabda peringatan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi, mafhumnya:

“Sesiapa yang berkata tentang Al-Qur’an tanpa ilmu, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam api neraka.”

Sehubungan dengannya, perlu diingat bahawa peranan mufassir atau pentafsir Al-Qur’an merupakan satu kedudukan yang tinggi dan mulia. Ianya menuntut penguasaan ilmu dan pematuhan kepada disiplin ilmu yang ketat sebagaimana digariskan dalam kitab-kitab ‘Ulum Al-Qur’an.

Dengan demikian, kita perlu menyedari bahawa teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) hanyalah sebuah wasilah atau perantara dalam mana ianya tidak memiliki ‘Basirah’ atau ‘mata hati’ di samping tidak berpaksikan kepada disiplin ilmu yang bersanad. Kemajuan teknologi ini bagaimanapun harus dimanfaatkan dengan aplikasinya berpandukan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah demi memelihara keselamatan akidah serta kesejahteraan ummah dan negara.

Justeru, kebijaksanaan kita menggunakan teknologi mestilah sentiasa diimbangi dengan kekuatan rohani dan integriti ilmu yang bersanad. Inilah benteng utama kita bagi melahirkan ugamawan serta generasi yang bukan sahaja celik digital, malah teguh imannya dalam mendepani apa jua cabaran masa kini dan mendatang.

Akhir kalam, adalah penting dan menjadi keutamaan bagi semua pihak untuk terus bekerjasama dalam menanai peranan masing-masing ke arah memperkukuh pengalaman pembelajaran, pengajian dan penghayatan Al-Qur’an melalui pendekatan tadabbur yang sahih dan mudah. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan taufiq dan kekuatan untuk kita membaca, memahami, dan mengamalkan isi kandungan Al-Qur’an dengan istiqamah serta meraih syafa’atnya dan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa dalam rahmat serta perlindungan-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ’Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

***

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Kuwait

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Kuwait

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada His Highness Sheikh Meshal Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Amir Kuwait dan His Highness Sheikh Ahmad Abdullah Al-Ahmad Al-Sabah, Perdana Menteri Kuwait serta ahli-ahli kerabat diraja, kerajaan dan juga rakyat Kuwait bersempena dengan Hari Kebangsaan Kuwait yang Ke-65 Tahun.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

 

Titah Perutusan Khas KDYMM Sempena Menyambut Awal Bulan Ramadhan Bagi Tahun 1447H / 2026M dan Titah Perutusan Khas Penghargaan dan Terima Kasih

TITAH PERUTUSAN KHAS

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MENYAMBUT AWAL BULAN RAMADHAN
BAGI TAHUN 1447H / 2026M
 
DAN
 
TITAH PERUTUSAN KHAS
PENGHARGAAN DAN TERIMA KASIH

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat dan kurnia-Nya kerana mengizinkan kita sekali lagi bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam suasana yang aman, sejahtera dan penuh keberkatan.

Beta juga amat bersyukur atas nikmat kesembuhan yang dikurniakan, serta diberi kesempatan untuk menyampaikan perutusan ini, setelah selesai menjalani rawatan. Pengalaman ini mengingatkan kita betapa pentingnya menjaga kesihatan, kerana ia adalah anugerah yang tidak ternilai. Kesihatan yang baik bukan sahaja membolehkan kita beribadah dan berkhidmat dengan lebih sempurna, malah ia adalah amanah bersama.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, nikmat kesihatan menjadi asas untuk kita melaksanakan ibadah puasa dan amal kebajikan dengan penuh keikhlasan, sekali gus mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Menjaga kesihatan diri bermakna kita juga menjaga kesejahteraan keluarga dan masyarakat, kerana tubuh yang sihat memberi ruang untuk kita terus berbakti dan menyumbang kepada pembangunan bangsa serta kesejahteraan ummah. Pada kesempatan ini, dengan penuh keikhlasan dan rasa terharu, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang telah mendoakan kesihatan dan kesembuhan Beta. Beta amat menghargai setiap ingatan dan sokongan yang diberikan.

Beta percaya segala usaha menunaikan solat hajat, bacaan surah Yassin dan doa yang dipanjatkan telah didengar dan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Doa-doa yang dipanjatkan menjadi sumber kekuatan yang besar dan Beta amat tersentuh, apabila mengetahui bahawa semua lapisan masyarakat di dalam dan di luar negara, tanpa mengira usia, bangsa dan agama termasuk kanak-kanak turut sama mendoakan kesihatan Beta.

Begitu juga, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, serta para Ketua dan Pembesar dari negara-negara sahabat yang telah mengutuskan perutusan mendoakan kesihatan Beta.

Beta mendoakan agar hubungan baik yang sedia terjalin ini akan terus diperkukuh dan dipermudahkan demi kesejahteraan bersama. Tidak lupa, Beta ingin merakamkan setulus-tulus penghargaan dan pengiktirafan setinggi-tingginya kepada para doktor dan pasukan perubatan, yang terdiri daripada pakar tempatan dan luar negara, atas dedikasi dan kerjasama mereka dalam memberikan rawatan terbaik kepada Beta.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala membalas segala kebaikan tersebut dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda serta mengurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keberkatan kepada semua.

Mengambil sukut baik sempena bulan Ramadhan yang penuh rahmat, marilah kita sama-sama merafa’kan do’a, memohon keampunan kehadharat Allah Subhanahu Wata’ala supaya dijauhkan daripada api neraka, dipanjangkan umur untuk kita diberi kesempatan bertemu dengan bulan Ramadhan secara berulang-ulang kali, dan dikurniakan kesihatan agar dapat melaksanakan ibadat puasa dengan sempurna dan penuh ketenangan.

Ramadhan ialah masa untuk kita mengumpul segala ganjaran pahala. Marilah kita sama-sama berazam untuk memakmurkan Ramadhan dengan ibadat puasa dan lain-lain ibadat seperti bertadarus Al-Qur’an, Sembahyang Tarawih dan Qiamullail, di samping menjaga kesihatan melalui pemakanan sihat. Bulan ini juga mengajar kita kesederhanaan, apabila kita menjauhi pembaziran, nikmat yang ada dapat dimanfaatkan untuk memberi dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

Untuk mengimarahkan bulan Ramadhan, seperti kelazimannya Beta menyeru agar semua pihak di peringkat kementerian, jabatan dan sektor swasta serta seluruh masyarakat untuk mengisikan masa dengan beramal ibadat dan memperbanyakkan aktiviti keagamaan dan amal jariah.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan tulus ikhlas dan sukacita mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadat Puasa kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana sahaja mereka berada. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati Ramadhan kita serta mengizinkan kita berpuasa dalam suasana aman, damai dan sejahtera.

Dalam kesempatan ini kepada masyarakat Tionghua di Negara ini, Beta ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***

Kebawah DYMM selamat jalani pembedahan

Kebawah DYMM selamat jalani pembedahan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini selamat menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan (Right Total Knee Replacement) di Jerudong Park Medical Centre (JPMC).

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berserta ahli-ahli kerabat diraja di JPMC dijunjung oleh Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri.

Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu Pengumuman Khas telah dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan disampaikan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Dalam Pengumuman Khas berkenaan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II telah memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Alhamdulillah dengan izin dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala, telah selamat menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan.

Seterusnya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa, berikutan dengan prosedur pembedahan berkenaan, Kebawah DYMM berada dalam keadaan kesihatan yang stabil dan baik. Pada masa ini, baginda sedang bersemayam beristirahat di bawah pemantauan pasukan perubatan. Seterusnya, adalah fasa pemulihan termasuklah sesi fisioterapi.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II selanjutnya memaklumkan bahawa sepanjang tempoh fasa pemulihan Kebawah DYMM, baginda akan terus menjalankan tugas-tugas rasmi dalam tempoh berkenaan dan keberangkatan baginda dalam majlis-majlis kenegaraan dan rasmi adalah tertakluk kepada keadaan baginda dari semasa ke semasa.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga menyatakan bahawa sambutan orang ramai, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khususnya di dalam dan luar negara dalam acara – acara keagamaan termasuk Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Khas yang telah diadakan di seluruh negara sangatlah bermakna dalam sama-sama merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala untuk mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan kepada raja yang dikasihi.

Pengumuman Khas berkenaan ditutup dengan bacaan Doa Khas oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bagi kesihatan dan kesejahteraan Kebawah DYMM.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto Infofoto