Berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia 2025 / 2026

Berangkat menyaksikan perlawanan Liga Super Malaysia 2025 / 2026

Pasukan tuan rumah, DPMM FC terpaksa akur apabila tumpas 2 – 5 kepada Selangor FC dalam aksi sengit pada Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 yang berlangsung malam tadi, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Juga berangkat, paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berserta kerabat diraja.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.

Pada separuh masa pertama menyaksikan Selangor FC mempamerkan aksi bertenaga sejak awal perlawanan dengan mendominasi permainan dan berjaya membuka jaringan seawal minit ke-5 melalui Chrigor Flores Moraes.

Selang lima minit kemudian, gawang DPMM FC sekali lagi digegarkan apabila Chrigor Flores Moraes menambah gol bagi Selangor FC menjadikan kedudukan 0 – 2 pada minit ke-10.

Pasukan DPMM FC terus membuat percubaan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama hasil sepakan Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-42, beberapa minit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Selangor FC terus beraksi cemerlang apabila Laine Nooa Hamzah dan Chrigor Flores Moraes menghadiahkan gol ketiga dan keempat masing-masing pada minit ke-48 dan ke-58.

DPMM FC tidak berputus asa dan terus melancarkan serangan demi serangan dan akhirnya berjaya menyumbat gol kedua melalui Miguel Angelo Agostinho Oliveira pada minit ke-62.

Walaupun pasukan tuan rumah cuba bangkit dan mengatur beberapa serangan, namun, keampuhan jentera serangan Selangor FC terbukti sukar dibendung apabila mereka menambah jaringan kelima melalui Chrigor Flores Moraes pada masa tambahan iaitu minit ke-91.

Kedudukan 2 – 5 kekal hingga wisel penamat dibunyikan. Keputusan tersebut menyaksikan Selangor FC membawa pulang 3 mata berharga, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta liga, manakala pasukan tuan rumah kekal di tangga ke-7.

Saingan DPMM FC di Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 seterusnya ialah menentang Terengganu FC pada 13 Januari 2026 bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

 

 

Sumber berita Pelita Brunei

 

 

 

 

 

 

Perutusan tahniah sempena Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar

Perutusan tahniah sempena Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Chairman of the State Security and Peace Commission, Republik Kesatuan Myanmar, Tuan Yang Terutama Senior General Min Aung Hlaing dan juga rakyat Republik Kesatuan Myanmar bersempena dengan Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar yang Ke-78 Tahun.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Titah KDYMM Sempena Awal Tahun Masihi 2026

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
AWAL TAHUN MASIHI 2026​

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita dapat memasuki Tahun Masihi 2026.

Ketika berada di ambang Tahun Baharu Masihi 2026, Beta ingin mengajak semua pihak untuk sama-sama merenung pencapaian kita dan hala tuju yang telah dilalui.

Keadaan tahun lalu masih sahaja menguji kita dengan cabaran-cabaran ekonomi, kesan dari pergolakan global termasuk krisis perubahan iklim yang semakin menghimpit. Namun, rakyat negara ini masih sahaja tetap tenang dan waspada.

Inilah yang kita mahukan untuk menjadi bangsa yang gigih yang sentiasa berani mengharungi cabaran.

Sehubungan itu, Beta berbangga mengetahui kebangkitan golongan muda seperti Brunei Youth Council dan Brunei Young Entrepreneurs, yang tampil membawa perubahan. Sementara dari sudut lain pula, kita juga melihat para petani dan penternak bangkit meningkatkan hasil pengeluaran mereka. Ini adalah petanda baik, selaras dengan hasrat Kerajaan sendiri untuk mencapai sara diri dalam hal ehwal permakanan.

Dalam melangkah ke tahun baharu ini, Kerajaan Beta akan kekal komited untuk meletakkan keutamaan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan dan pembaharuan dasar.

Walaupun ekonomi negara mengalami penurunan 1.1 peratus pada enam bulan pertama tahun 2025 berbanding tempoh yang sama tahun 2024, namun asas makroekonomi kita masih sahaja berdayatahan melalui lebihan imbangan perdagangan berjumlah BND4.0 bilion sehingga bulan September, disamping penurunan kadar inflasi sebanyak 0.3 peratus setakat bulan Oktober 2025. Ini jelas menunjukkan betapa kita masih perlu untuk melipat-gandakan lagi usaha merentasi sektor utama dengan lebih berdayasaing.

Insya Allah, kita akan terus meneroka peluang pelaburan, selaras dengan Economic Blueprint melalui sektor-sektor utama. Matlamat kita adalah jelas, iaitu bagi menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan memastikan negara kekal relevan serta berdaya saing di pentas serantau dan global.

Ke arah itu, Kerajaan juga akan terus komited menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, mengukuhkan lagi jaringan dengan rakan-rakan strategik antarabangsa, memperkasa jenama Halal, serta melonjakkan eksport produk industri tempatan yang kini dilihat setanding dengan piawaian antarabangsa.

Dari sudut memperkasa transformasi digital negara pula, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, Beta telah memperkenankan pelaksanaan projek identiti digital kebangsaan, iaitu Brunei-ID dibawah naungan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, bermula 3 Januari 2026. Ini akan memudahkan lagi proses pengesahan identiti bagi mengakses pelbagai perkhidmatan dalam talian Kerajaan, yang akan memperkukuhkan lagi tadbir urus digital dan menjadi pemangkin kepada pembangunan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan selamat, untuk kemudahan rakyat.

Seiring dengan hasrat untuk memacu transformasi negara ke arah penyampaian Perkhidmatan yang lebih dinamik, maka Beta telah memperkenankan pengkorporatan Jabatan Perkhidmatan Pos kepada Syarikat PosBru Sendirian Berhad bermula 01 Januari 2026. Langkah ini adalah khusus untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada Orang awam.

Melalui inisiatif pengkorporatan ini, Beta berharap pihak Kerajaan akan dapat melipat-gandakan lagi usaha transformasi dalam sektor-sektor lain yang memerlukan perkhidmatan Kerajaan yang lebih responsif serta Customer-centric bagi memenuhi keperluan rakyat dan produktiviti sektor perniagaan di negara ini.

Marilah kita mensyukuri keadaan negara yang istimewa, warisan ugama dan budaya yang kukuh serta semangat perpaduan mempertahankan kedaulatan negara tercinta.

Akhirnya, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat warga perkhidmatan awam, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, pasukan-pasukan beruniform yang lain, termasuk mereka yang berkhidmat di sektor swasta dan badan-badan bukan Kerajaan (NGOs), serta golongan belia, di atas komitmen dan usaha gigih mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing sepanjang tahun 2025.

Selamat Tahun Baharu Masihi 2026 kepada seluruh rakyat dan penduduk di negara ini, termasuk mereka yang berada di luar negara.

Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Eire

TITAH
 
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT BERSERTA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI UNITED KINGDOM DAN EIRE
 
PADA:
07 REJAB, 1447/28 DISEMBER, 2025
 
TEMPAT:
ROYAL LANCASTER HOTEL,
LONDON, UNITED KINGDOM
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat hadir ke majlis yang sangat bermakna ini untuk beramah mesra dengan Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, yang terdiri daripada para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Pertemuan ini memberi peluang kepada Beta untuk bersilaturrahim dengan rakyat di perantauan, khasnya dengan para pelajar yang sedang menuntut ilmu.

Beta gembira mengetahui mengenai kejayaan akademik yang diperolehi oleh para pelajar di sini. Kejayaan tersebut berupa jumlah pelajar yang meningkat di bawah skim Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan kawalan Kementerian Pendidikan yang telah memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan sekurang-kurangnya klasifikasi Kedua Atas (Second Upper) dari institusi pengajian di United Kingdom. Kejayaan ini meningkat dari seramai 29 orang pelajar atau 36% daripada keseluruhan pelajar yang tamat pengajian pada tahun 2024, kepada 33 pelajar ataupun 60% pada tahun ini. Ini menunjukkan pembelajaran mereka yang berkesan dan mampu untuk menghasilkan prestasi yang tinggi.

Begitu juga turut meningkat ialah jumlah pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mengikuti pengajian di bawah skim Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negeri ke universiti yang berkedudukan 10 Teratas Dunia, iaitu dari hanya seorang pelajar pada tahun 2021 kepada 5 orang pelajar pada tahun ini. Ini juga membuktikan para pelajar Brunei mampu untuk menembusi pengajian di universiti ternama. Beta berharap, kecemerlangan ini akan terus dijaga untuk menyuntik semangat pelajar-pelajar yang lain.

Menyelusuri proses pendidikan masa kini, ada cabaran di hadapan kita. Cabaran itu berpunca dari kemajuan digital. Kehidupan dalam era digital kini banyak memberi kemudahan kepada para pelajar dalam pembelajaran, penyelidikan, komunikasi dan perkembangan kemahiran. Namun perlu juga diingat, jika teknologi ini tidak digunakan dengan bijak, seimbang dan berhemah, maka risikonya mungkin tinggi, seperti risiko keletihan digital (digital fatigue) dan ketagihan digital (digital addiction) yang boleh menjejaskan perkembangan akademik dan mental para pelajar. Dengan demikian, para pelajar mestilah bijak mengurus masa, menghadkan penggunaan media sosial dan permainan dalam talian (online gaming), serta mengutamakan interaksi bersemuka dan beriadah di luar alam siber.

Selain itu, pelajar juga sangat disyorkan untuk mendekati atau berhubung dengan para pensyarah di universiti serta pegawai-pegawai di Unit Penuntut-Penuntut bagi sebarang khidmat nasihat dan bantuan, demi memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjaga. Nikmat kesejahteraan dan keamanan mesti terus disyukuri, dengan iringan do’a, semoga Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua dan negara.

Menyentuh mengenai kemampuan pula, Beta ingin menasihatkan para pelajar, bahawa dalam mengejar kelulusan yang lebih tinggi, mereka perlu bijak berbelanja mengikut keupayaan. Ijtihad untuk menambah ilmu memang digalakkan dalam Islam, namun ia perlu disusun dengan perancangan kewangan secara bijak. Jangan ia sampai membebankan diri dan keluarga dengan hutang yang tidak terkawal, semata-mata untuk mengejar status. Buatlah perancangan yang teliti bersama keluarga berdasarkan kepentingan, bukan mengutamakan keinginan.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa dilindungi, diberkati dan diberikan kejayaan yang cemerlang serta Negara kita Brunei Darussalam juga kekal aman, sejahtera, makmur dan selamat di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

* * *​​

Rakyat, penduduk NBD di UK, Ireland menjunjung keberangkatan raja tercinta

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) di United Kingdom (UK) dan Ireland, hari ini.

Berangkat sama ke majlis tersebut yang berlangsung di Royal Lancaster Hotel, London ialah kerabat diraja.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dijunjung dengan penuh hormat oleh Pesuruhjaya Tinggi NBD ke UK dan Ireland, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad dan isteri, Pengiran Noralam binti Pengiran Haji Kahar.

Menjunjung sama, Yang Dipertua Persatuan Penuntut-penuntut NBD – Brunei Students’ Union (BSU), Dayangku Nabilah binti Pengiran Behrin serta Naib Yang Dipertua BSU, Dayang Zuhrah Fatin Aina binti Mohammad Shukri.

Suasana penuh kemesraan dan keceriaan amat terserlah apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri bercemar duli meluangkan masa beramah mesra bersama wakil para penuntut sebelum majlis bermula.

Baginda berdua kemudiannya berkenan menandatangani Lembaran Kenangan dan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari bersama perwakilan penuntut, yang mana keberangkatan baginda berdua juga mencerminkan keprihatinan dan pemedulian terhadap para penuntut NBD di UK dan Ireland.

Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah.

Dalam sembah alu-aluan Yang Dipertua BSU menyembahkan tema majlis ‘Raja Berwawasan, Belia Pemacu Cita Negara’ mencerminkan kepimpinan baginda yang berpandangan jauh serta peranan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negara berteraskan prinsip Melayu Islam Beraja (MIB).

Gabungan kepimpinan raja dan semangat progresif belia ini sembahnya diyakini menjadi pemangkin ke arah NBD yang berdaulat, gemilang dan dihormati.

Dayangku Nabilah seterusnya menyembahkan bahawa BSU memperkenalkan satu kerangka kerja strategik iaitu ‘AIS’ – Akar, Identiti dan Sistem sebagai pendekatan langkah-langkah praktikal bagi membolehkan para penuntut berupaya menjadi peneraju negara dan ejen perubahan dengan memiliki pengetahuan serta kemahiran yang tinggi dan berani mencabar diri semasa berada di perantauan.

Kemuncak majlis menyaksikan Kebawah DYMM dan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri berangkat bercemar duli beramah mesra bersama kira-kira 1,130 rakyat dan penduduk NBD yang berada di UK dan Ireland terdiri daripada para penuntut, pegawai kerajaan dan mereka yang sedang bercuti.

Detik ini sekali lagi menyerlahkan hubungan erat dan kasih sayang baginda terhadap rakyat tanpa mengira jarak dan tempat. Pada majlis ini, nyanyian Lagu Kebangsaan NBD dimainkan, diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh penuntut Queen Mary University of London, Awang Ahmad Rusydi bin Haji Mohd. Salleh dengan inti sari dibacakan oleh penuntut Loughborough University, Awang Mohammad Sahzwan bin Lamat.

Perwakilan penuntut seterusnya menyembahkan pesambah ‘Perhubungan Rentak Serasi dan Semangat Sejati’ berupa sebatang raket badminton bersama sarung khas serta senaskhah Buku Ristaan bertajuk ‘Raja Berwawasan, Belia Pemacu Cita Negara’, Kehadapan Majlis Kebawah DYMM sebagai simbol semangat, kesetiaan dan hubungan mesra yang utuh antara baginda dengan para penuntut NBD di UK dan Ireland.

Satu pesambah, ‘Cahaya Simpur : Lambang Perpaduan dan Semangat Kebangsaan’, iaitu sebingkai kaca patri gabungan lima bunga kebangsaan : Bunga Simpur dari NBD, Tudor Rose dari England, Thistle dari Scotland, Daffodil dari Wales dan Shamrock dari Ireland disembahkan Kehadapan Majlis Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri yang mencerminkan kelembutan dan keanggunan peribadi baginda serta keprihatinan dan dukungan baginda yang mendalam terhadap penuntut NBD di UK dan Ireland.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tausyeh bertajuk ‘Bissalaamil Mubin’ oleh gabungan kanak-kanak, remaja dan para penuntut NBD yang berada di UK. Semoga dengan bacaan selawat tersebut, Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan baginda berdua dengan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan berpanjangan.

Sumber berita Pelita Brunei