DPMM berkenan menerima mengadap

DPMM berkenan menerima mengadap

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan, pagi tadi berkenan menerima mengadap Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah H. Al Buraithin, yang akan menamatkan perkhidmatan.

Tuan Yang Terutama telah menyembahkan Surat Tauliah Pelantikan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 13 September 2023.

Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Qashr Al-Meezan.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Qatar

Perutusan tahniah sempena Hari Kebangsaan Qatar

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan tahniah kepada His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Qatar dan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Qatar, His Excellency Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani serta kerajaan dan rakyat Qatar sempena Hari Kebangsaan Qatar.

Sumber berita Pelita Brunei

Hubungan diplomatik NBD, Qatar diperkukuh melalui kerjasama dua hala

Hubungan diplomatik NBD, Qatar diperkukuh melalui kerjasama dua hala

Kedutaan Qatar di Negara Brunei Darussalam meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Qatar pada Majlis Resepsi yang berlangsung di Dewan Royal Berkshire, Tarindak d’Polo, Jerudong.

Hadir mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan isteri, Pengiran Datin Hajah Noor Yashimah binti Pengiran Anak Haji Hashim.

Majlis dimulakan dengan Lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan diikuti dengan Lagu Kebangsaan Qatar dan diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Haji Mohammad bin Ali.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II dan Datin seterusnya dijunjung bagi memotong kek sempena Hari Kebangsaan Qatar bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abdulla Hamad Ali Al-Adham Al-Marri.

Hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dan Qatar telah mencapai kemajuan besar dalam hubungan dua hala yang diperkukuhkan dengan beberapa persetujuan dan memorandum persefahaman bagi menguatkan dan mengembangkan lagi kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang.

Pada tahun ini, hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dan Qatar telah menandakan lebih daripada tiga dekad hubungan diplomatik susulan terjalinnya hubungan pada 2 Oktober 1991.

Baru-baru ini, kedua-dua pihak telah meningkatkan kerjasama dalam pendidikan, teknologi, budaya dan pelaburan, mencerminkan kekuatan dan janji masa depan hubungan dua hala.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto

Berkenan hantar perutusan takziah

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan takziah kepada Perdana Menteri Australia, The Honourable Anthony Albanese MP, kerajaan dan rakyat Australia berikutan dengan serangan pengganas yang berlaku di Bondi Beach, Sydney, Australia baru-baru ini.

Sumber berita Pelita Brunei

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Di Malaysia

Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Di Malaysia

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT
BERSERTA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MALAYSIA
 
PADA:
03 JAMADILAWAL 1447 / 25 OKTOBER 2025​

BERTEMPAT:
HYATT REGENCY HOTEL AT KL MIDTOWN
KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta hadir bersama-sama Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Malaysia, termasuk para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Melalui majlis ini, Beta berpeluang mendekati dan berinteraksi dengan rakyat Beta, lebih-lebih lagi para pelajar yang sedang menuntut di sini. Para pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara seperti Malaysia, adalah berpeluang untuk memperolehi pendedahan dan persekitaran berbeza. Ini sangat baik untuk mengasah “bakat berdikari” dalam masa berjauhan dengan ibu bapa.

Bagaimanapun, Beta yakin para ibu bapa tetap sahaja memberi sokongan berupa do’a yang tidak putus-putus untuk keselamatan dan kejayaan anak-anak mereka.

Ini adalah wajar, berdasarkan beberapa kejadian buruk telah berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Kejadian-kejadian ini tentu sahaja merisaukan pihak kerajaan dan ibu bapa. Oleh itu, berhati-hati dalam perkara pergaulan dan memilih kawan adalah sangat penting untuk diambil ingatan, sebagaimana ugama kita sendiri menggalakkan untuk memilih kawan yang baik yang berakhlak mulia.

Tugas para pelajar ialah untuk meraih kejayaan. Namun apabila sudah berjaya, janganlah lekas selesa dengan kejayaan itu. Maksud Beta, kejayaan mendapat skor yang baik di atas kertas belum mencukupi, melainkan kejayaan yang sebenar-benarnya ialah kita berupaya mengembangkan potensi diri, meliputi segi-segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Beta gembira mengetahui bahawa, para pelajar terus mengambil peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang bermanfa’at yang berupaya untuk menambahkan kemahiran yang diperlukan oleh negara.

Menyentuh mengenai inovasi, para pelajar hari ini sedang melalui proses pembelajaran yang semakin mencabar, dimana penggunaan Kecerdasan Buatan atau AI telah memberikan impak besar terhadap cara pengurusan dalam ekosistem pendidikan. Penggunaan Generatif AI menawarkan pelbagai kelebihan pembelajaran yang lebih efektif dan berimpak tinggi. Namun, hendaklah perkara itu digunakan secara berhemah dan berintegriti. Kebergantungan kepada AI secara berlebihan, tentu sahaja boleh mengancam pembangunan kemahiran lain seperti pemikiran kritis dan kreativiti. Kita boleh gunakan AI sebagai alat bantu, tetapi bukan untuk menggantikan usaha dan kebijaksanaan.

Selain perubahan dalam ekosistem pendidikan, beta juga ingin menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh negatif yang semakin meluas yang mencakupi pelbagai aspek. Gejala penyalahgunaan dadah, rokok elektronik atau vape bukan sahaja boleh merosakkan kesihatan tetapi juga mampu untuk melumpuhkan prestasi akademik dan reputasi pelajar. Gejala buli juga, dalam apa jua bentuknya perlu dicegah kerana aktiviti buli bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa buli tapi juga pembuli sendiri.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga Allah memberkati kita semua dan negara dengan keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***